SEBUT sahaja Gunung Ledang yang terletak di Tangkak, Johor pasti ramai terkenangkan kisah rakyat mengenai kisah Puteri Gunung Ledang yang dipercayai mendiami kawasan itu.
Kisah tesohor yang tertulis dalam dua karya epik iaitu Hikayat Hang Tuah dan Sulalatus Salatin, puteri yang memiliki rupa paras jelita itu mahu dipinang oleh Sultan Melaka.
Sultan Mahmud Shah menghantar rombongan meminang diketuai Laksamana Hang Tuah ke Gunung Ledang.
Bagaimanapun, pinangan Sultan Mahmud ditolak sang puteri dengan mengenakan syarat
pelik yang sukar ditunaikan sesiapapun jua.
Antara syarat itu termasuk tujuh dulang hati nyamuk, tujuh dulang hati muman, tujuh tempayan air mata anak dara dan jambatan emas dari dan Gunung Ledang ke Melaka.
Kisah legenda itu masih terus diperdebatkan sehingga kini. Ada mengatakan puteri tersebut masih mendiami puncak Gunung Ledang sehingga hari ini.
Nama Ledang dikatakan berasal daripada perkataan Jawa dan dinamakan oleh orang-orang daripada keturunan tersebut ketika pemerintahan Empayar Majapahit yang membawa maksud Gunung Dari Jauh atau Gunung Paling Jauh.
Gunung setinggi 1,276 meter dari aras laut itu juga dikatakan menjadi tempat simpanan emas sehingga menarik minat pedagang dari China dan Eropah.
Laksamana Cheng Ho kononnya pernah melawat lombong emas di gunung itu sebelum membawa balik beberapa bongkah untuk dipersembahkan kepada Maharaja China.
Kisah-kisah mitos yang diceritakan sejak zaman-berzaman itu menjadi tarikan anak muda bernama Pangiran Nurdian Syah Zainal Abidin, 35, untuk bersuluk di Gunung Ledang.
Dia yang merupakan seorang guru silat gayong maarifat sejak berusia 18 tahun itu berhasrat menyendiri di Gua Nenek yang terletak berhampiran puncak Gunung Ledang.
Dalam ilmu persilatan, proses bersuluk atau bertapa dianggap satu keperluan yang mana tujuan utamanya adalah untuk berdamping dengan alam sambil menguji keberanian diri.
Ceritanya, sepanjang mengasingkan diri di Gua Nenek selama tiga hari, dia melalui beberapa kisah mistik yang menyeramkan.
“Sebagai guru silat, saya selalu bertapa di beberapa lokasi seperti Pulau Besar Melaka, Gunung Jerai (Kedah) dan Gua Senyum (Pahang) dan Kota Gelanggi (Johor).
“Bagaimanapun, kisah di Gunung Ledang pada 2012 betul-betul menguji tahap keberanian,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.
Lelaki yang mesra disapa dengan panggilan Panglima Aduka itu memberitahu, perjalanannya bermula di Asahan dengan pendakian selama lima jam sebelum tiba di Gua Nenek.
Katanya, dia memilih bersuluk di Gua Nenek memandangkan keadaan di dalamnya yang sesuai berlindung panas dan hujan selain memiliki sebuah kolam kecil bagi mendapatkan sumber air bersih.
Dia bertapa di gua itu selama pada hari ke 13, 14 dan 15 bulan Islam iaitu ketika bulan mengambang penuh, sekali gus menjadikan suasana malam lebih cerah.
“Pada hari pertama, saya di datangi seorang wanita tua berusia sekitar 70-an menjelang waktu subuh. Wanita berpakaian lusuh itu datang meminta makanan kerana terlalu lapar.
“Saya sedar wanita itu bukanlah manusia normal kerana secara logiknya tidak ada yang orang tinggal di hutan berkenaan,” katanya.
Panglima Aduka memaklumkan, wanita tua itu memberitahu, dia pernah menjadi manusia sebelum berlaku peristiwa yang menyebabkan dirinya kekal tinggal di Gunung Ledang.
“Sebelum beredar, saya ada meminta wanita itu mendoakan keselamatan saya sepanjang bersuluk. Saya tergamam apabila dia dapat membaca doa dengan begitu lancar dalam bahasa Arab, sekali gus membuatkan bulu roma meremang ketakutan,” jelasnya.
Pada malam berikutnya, dia memilih untuk melakukan beberapa pergerakan silat sebelum didatangi makhluk menyerupai lelaki tua berserban dan berbusana Melayu lama berwarna hijau.
Wajah lelaki tua itu tidak jelas kelihatan akibat samar malam. Namun dia yakin lelaki tersebut merupakan bunian atau penunggu Gunung Ledang yang menyerupai manusia.
“Lelaki bunian itu sempat menunjukkan beberapa pergerakan silat yang dikatakan pernah digunakan Hang Tuah.
“Saya mengikut setiap pergerakan itu sebagai menghormati ‘tuan rumah’. Tidak lama kemudian, lelaki tadi hilang di sebalik rimbunan pokok,” ujarnya.
——————————————————————————————————————————
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat
di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.














