MENATA RIAS kediaman tidak terhad kepada sesetengah konsep sahaja. Pemilik juga boleh menerapkan idea-idea kreatif dan lebih berani di luar daripada kebiasaan seperti bertemakan hotel butik.
Umum mengetahui, hotel butik bukan sahaja mengetengahkan rekaan unik penuh gaya, tetapi turut bermain dengan rona warna garang, dipadankan dengan perabot dan dekorasi lain daripada yang lain.
Pereka hiasan dalaman MH Casa Decoration, Haziq Ammar mengubah kediamannya dengan konsep tersebut bagi mencipta kelainan.
Katanya, tidak ramai yang berani menggunakan konsep ini kerana gabungan beberapa konsep dekorasi.
“Antaranya penggunaan perabot dan rona warna terlalu terang dan gelap hingga pemilik kediaman memilih jalan selamat dengan menerapkan juga rona pastel dan warna bumi.
“Sebaliknya, saya lebih gemar bermain dengan warna-warna garang dan suka mencuba sesuatu yang baharu bagi mencipta keunikan pada sesuatu ruang,” katanya yang berasal dari Alor Setar, Kedah.
Ujar Haziq, keunikan konsep hotel butik turut menggabungkan tema-tema dekorasi lain seperti Inggeris moden, klasik dan kontemporari.

Mengulas lanjut mengenai dekorasi itu di kediaman berkeluasan 130 meter persegi (1,400 kaki persegi) itu, Haziq membahagikannya kepada empat bahagian iaitu ruang tamu, tempat makan, dapur dan bilik tidur.
Bagi ruang tamu, dia menata rias seperti berada lobi hotel dengan campuran pelbagai rona terang dan gabungan konsep Inggeris moden.
Jelasnya, dia menggunakan langsir jenis fabrik seakan material baldu berona biru gelap, manakala dinding pula dicat beronakan hijau lumut.
“Saya meletakkan dua kerusi rekaan bingkai daripada kayu jati berwarna hitam dan fabrik bercorak harimau, manakala sofa pula jenis Chesterfield berona putih,” ujarnya.
Ruang tamu juga dipadankan dengan pokok tiruan seperti gubahan bunga orkid berwarna kuning, dihiasi dengan lampu meja berona putih dan juga meja kopi berbentuk empat segi daripada besi berona emas.
Sementara itu, di ruang makan pula, dia memilih tata rias berkonsepkan klasik menggunakan set meja dan kerusi makan berbentuk oval diperbuat daripada kayu jati dengan sedikit sentuhan ukiran klasik berona hitam disuaipadankan dengan fabrik baldu.
Bahagian dinding ruang makan itu dicat dengan rona warna kelabu muda sederhana dan turut dipasang cermin dinding berbentuk diamond, wainscoting dicat rona hitam serta lampu candelier berona emas dengan perincian kristal.

Untuk bahagian dapur, ia dihias secara sederhana dengan mengetengahkan tema rona warna kayu untuk almari kabinet dan set meja makan kecil gabungan warna hitam dan kayu.
Bercerita mengenai bilik tidur utama, Haziq berkata, secara keseluruhannya dia menggunakan warna ungu dan merah jambu yang merangkumi langsir, cadar, kerusi serta permaidani.
“Saya tidak mahu menghias bilik terlalu sarat kerana warna digunakan cukup untuk menonjolkannya,” katanya.
Tambahnya, bagi bilik tidur kedua, dia menggunakan cat jenis momento pada dinding utama berona coklat gelap dan gangsa.
Ia kelihatan seolah-olah seperti marmar dan dipadankan dengan bingkai gambar abstrak berona hitam dan emas.
Kata Haziq, dia mengambil masa sebulan untuk menyiapkan keseluruhan dekorasi di kediaman itu.
















