PETALING JAYA – Rata-rata rakyat Malaysia yang berpeluang mengerjakan haji pada tahun ini bersyukur apabila terpilih menjadi tetamu Allah, namun mengakui ia agak mencabar kerana terpaksa berdepan dengan suhu panas terik yang mencecah 50 darjah Celsius.
Nurul Arifah Mohd. Yusof, 26, berkata, selain terpaksa mengerjakan haji dalam norma baharu, dia perlu mempersiapkan diri bagi memastikan ibadat terbesar tersebut berjalan dengan mudah dan sempurna.
“Saya rasa istimewa dan perasaan bercampur-baur kerana menjadi salah seorang jemaah haji daripada 60,000 yang terpilih pada tahun ini.
“Peluang sebegini pasti tidak akan datang lagi selepas ini apatah lagi saya dijemput menjadi tetamu Allah pada usia muda. Ia bukan mudah dengan suhu sekarang yang mencecah 50 darjah Celsius,” katanya ketika dihubungi.
Nurul Arifah tinggal di Mekah sejak 2017 kerana mengikut suaminya yang merupakan pelajar di Universiti Ummul, Al-Qura.
Tambah ibu kepada dua anak itu, dia membayar 13,931 Riyal (RM15,562) untuk pakej selama enam hari dan pihak konsulat telah mengatur kelas dalam talian khas untuk jemaah Malaysia yang menetap di Arab Saudi.
Menurut Nurul Arifah, dia mengikuti kursus haji secara online sejak seminggu lalu yang dikendalikan oleh pelajar dan bekas pelajar.
Seorang lagi bakal jemaah haji, Nazirah Jamaludin, 59, berkata, dia bersyukur terpilih kerana telah memasang niat untuk mengerjakan haji sebelum menamatkan perkhidmatan sebagai jururawat di Hospital National Guards di Madinah sejak 2013.
“Saya ada pengalaman mengerjakan haji pada tahun 2006 yang begitu mencabar disebabkan kesesakan jemaah yang datang dari seluruh pelosok dunia. Tetapi kali ini berbeza dengan bilangan jemaah jauh lebih sedikit kurang 97 peratus daripada kebiasaan.
“Justeru saya teruja melalui pengalaman mengerjakan haji pada musim pandemik yang saya jangka lebih sistematik berdasarkan prosedur operasi standard yang telah ditetapkan,” katanya.
Ibu kepada empat anak yang berasal dari Negeri Sembilan itu berkata, dia tinggal berjauhan dengan keluarganya dan hanya pulang empat hingga lima bulan sekali ke tanah air.
Bagi Muhammad Faisal Muinnuddin, 35, dia merindui suasana penduduk yang tinggal di sekitar kota Mekah bebas mengerjakan haji secara persendirian bersama keluarga masing-masing.
Anak kelahiran Pulau Pinang itu berkahwin dengan wanita Afghanistan, Zainab Mohammad Yousif, 29, dengan keluarga mertuanya berstatus penduduk tetap Arab Saudi.
“Agak sedih juga kerana rumah keluarga mertua di Rhea’ Bash cuma 15 minit berjalan kaki ke Masjidil Haram. Selalu boleh buat haji sendiri sahaja kalau tiada Covid-19. Jika ditangkap kena denda 10,000 Riyal (RM11,171)
“Begitupun, saya bersyukur kerana Allah memilih saya,” kata bapa kepada dua cahaya mata itu.
Pengusaha katering di Madinah, Azlin Mohamed, 41, berkata, dia tidak mengerjakan haji pada tahun ini kerana tiada orang menjaga anak-anaknya, manakala isterinya, Norhasimah Nimat, 39, bertugas sebagai jururawat di Hospital Prince Mohammed bin Abdulaziz.
“Tetapi Alhamdulillah di sini tiada sekatan dalam semua sektor. Tempat percutian dan pusat beli-belah meriah dikunjungi orang ramai. Saya juga mengambil kesempatan membawa anak-anak bercuti di Jeddah sekarang,” katanya yang berasal dari Baling, Kedah.
Azlin mengakui dia sedih kerana sudah dua tahun tidak berkesempatan menunaikan ibadah haji disebabkan kekangan pandemik dan berharap dapat melakukannya tahun hadapan bersama keluarga.
Jemaah Malaysia mengerjakan haji adalah seramai 263 orang pada tahun ini.














