Gambar hiasan.

Percayakan suami ada adik angkat, rumah tangga hancur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERKAHWINAN antara Lina (bukan nama sebenar) dan suaminya dikenali sebagai Hadi yang berlangsung hasil percaturan keluarga pada awalnya sangat bahagia.

Biarpun tidak pernah berjumpa sebelum itu, tetapi mereka mula mengenali hati budi masing-masing selepas diijabkabulkan.

Namun, selepas dua tahun, hubungan suami isteri yang dibina ‘bergoncang’ jua gara-gara kehadiran orang ketiga dalam hidup pasangan itu.

Apa yang mengejutkan, orang ketiga yang mengacau keharmonian rumah tangga mereka ialah adik angkat Hadi yang dikenali sejak sekolah menengah.

“Suami saya mengenali adik angkatnya sejak di bangku persekolahan lagi. Sepanjang kami berkahwin, dia tidak pernah menceritakan tentang perihal tersebut.

“Sehinggalah suatu hari saya terbaca perbualan mereka di aplikasi WhatsApp. Mereka berdua membahasakan diri masing-masing sebagai adik dan abang,” jelasnya.

Terguris dengan perkara itu, Lina meminta penjelasan dan barulah suaminya menyatakan bahawa gadis itu adalah adik angkatnya dan mereka baru kembali berhubung antara satu sama lain setelah sekian lama tidak berjumpa.

Ketika itu, Lina boleh menerima penjelasan tersebut dan dia mempercayai suaminya sepenuhnya.

Lagipun, Hadi memaklumkan kepadanya bahawa hubungan mereka sekadar adik dan abang sahaja, tidak lebih daripada itu.

Namun selepas setiap hari suaminya berhubung dengan gadis berkenaan, Lina mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena berlaku.

Hati kecilnya mula berbisik adakah suaminya sedang menjalinkan hubungan cinta dengan gadis itu.

“Saya cuba membaca perbualan mereka di telefon apabila suami saya tidur, tetapi Hadi telah memadamkannya.

“Daripada situlah, saya mula curiga dengan hubungan mereka berdua,” jelasnya.


TINDAKAN Hadi menghadiahkan telefon pintar bernilai ribuan ringgit kepada adik angkatnya meremukkan hati Lina sebagai isteri. – GAMBAR HIASAN

Apa yang membuat Lina makan hati adalah suaminya sanggup berhabis ribuan ringgit semata-mata mahu menghadiahkan adik angkatnya sebuah telefon pintar baharu.

Katanya, dia mengetahuinya selepas ternampak penyata kad kredit milik suaminya secara tidak sengaja.

“Sebagai seorang isteri, saya amat kecewa kerana selama ini Hadi tidak pernah memberikan hadiah semahal itu kepada saya,” jelasnya.

Akhirnya kegusaran dan kebimbangan Lina tentang perkara itu terjawab apabila pada satu hari suaminya berterus terang mengatakan dia ingin mengahwini adik angkatnya kerana sudah lama terpikat dengannya.

Bagaikan terkena ledakan bom, Lina hampir pengsan mendengar pengakuan jujur daripada suaminya itu.

“Hadi menyatakan bahawa dia telah lama menaruh perasaan terhadap adik angkatnya itu.

“Dia sendiri pernah meluahkan perasaan itu sebelum kami berdua mengenali antara satu sama lain, tetapi cintanya ditolak begitu sahaja,” jelasnya.

Bagi meredakan kemelut itu, Lina nekad bersemuka dengan adik angkat suaminya itu untuk meminta penjelasan dan gadis tersebut mengakui turut menaruh hati pada suaminya.

Setelah berfikir panjang, Lina meminta suaminya untuk melepaskannya jika berhasrat untuk berkahwin dengan adik angkatnya itu kerana tidak mahu hidup bermadu.

Pada mulanya suaminya agak keberatan dan cuba memujuk Lina.

Tetapi Lina tetap dengan pendiriannya dan akhirnya mereka berdua mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing dan sah berpisah di sebuah mahkamah Syariah.

“Lebih baik kami berpisah dan saya juga berhak mencari insan yang boleh mencintai saya sepenuh hati.

“Lagipun saya mempunyai kerjaya yang stabil dan mampu menyara hidup tanpa bergantung kepada suami yang ‘curang’,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN