fbpx

Apa perkara pertama nak buat selepas bebas Covid-19?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

BILA diaju soalan, apakah perkara pertama yang akan dibuat selepas bebas daripada ‘berkurung’ ekoran pandemik Covid-19?, pasti ramai yang memiliki jawapan dengan program dan perancangan masing-masing.

Mungkin soalan ini terlalu awal untuk diajukan tetapi rakyat kini sudah tidak boleh menahan sabar dek terlalu menahan rindu untuk merentas negeri khususnya balik ke kampung berjumpa ibu bapa dan keluarga.

Bukan orang dewasa sahaja yang sudah ‘cemuih’ (loghat orang Utara) dengan aktiviti berkurung di rumah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada pertengahan Mac tahun lalu tetapi kanak-kanak juga sudah mula pandai menunjukkan tekanan mereka.

Kini ramai yang begitu teruja mahu bertukar selera di restoran dan warung meskipun minum secawan teh tarik mamak serta bersembang berjam-jam bersama rakan-rakan selain cuci mata di pusat beli-belah.

Pasti juga ramai yang terlalu rindu mahu menghirup udara di tepi pantai, di puncak bukit dan gunung, memijak pasir pantai dan berkhemah di dalam hutan dengan mendengar bunyi unggas dan deruan air terjun.

Lebih menarik lagi, ramai yang terlalu rindu untuk berada di lapangan terbang sambil menarik beg kembara dengan memegang pasport di tangan, memiliki wang tunai dolar Amerika Syarikat atau euro, berada dalam perut pesawat dan seterusnya merealisasikan impian untuk bercuti di luar negara.

Tanpa disedari rakyat Malaysia telah ‘berkurung’ lebih daripada 500 hari sejak PKP mula dilaksanakan.

Setahun lebih rupanya kita ‘duduk’ di rumah dengan berdepan dengan pelbagai momen menarik, melucukan dan juga menyakitkan hati, namun semuanya itu ditelan bulat-bulat demi patuh kepada arahan kerajaan.

Kesedihan masyarakat terubat kini setelah melihat perkembangan agresif program vaksinasi bermula bulan Julai, ia seakan memberi petanda positif dan meningkatkan keyakinan masyarakat bahawa ‘perang’ terhadap pandemik tersebut bakal berakhir.

Saat menerima makluman dalam aplikasi MySejahtera tentang tarikh janji temu mendapatkan vaksin disambut dengan syukur dan keriangan, rasa seronoknya itu sama seperti baru menerima keputusan terbaik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Berkongsi pengalaman dan gambar yang dimuat turun dalam status media sosial juga telah menceriakan rutin kehidupan sehingga mereka yang belum menerima tarikh janji temu berasa bimbang jika namanya tercicir.

Ada juga yang sibuk bertanya jenis vaksin yang diterima dan mula mempertikaikan jenis vaksin yang berkualiti atau sebaliknya.

Rezeki masing-masing, tidak kisahlah vaksin AstraZeneca, Pfizer atau Sinovac, itu adalah ikhtiar kita untuk membantu negara mencapai imuniti kelompok, sekali gus menang dalam peperangan.

Semoga perayaan Hari Krismas pada 25 Disember ini akan disambut oleh seluruh rakyat Malaysia dengan meriah bukan secara berkurung di rumah tetapi di mana-mana sahaja kita bebas berada. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI