PETALING JAYA – Memujuk keluarga waris dengan alasan mayat tidak boleh disimpan lama antara taktik yang digunakan oleh sindiket pengurusan jenazah di sekitar Lembah Klang yang menawarkan perkhidmatan dengan kos tinggi.
Sindiket berkenaan didakwa mampu memperoleh keuntungan antara RM2,000 sehingga RM5,000 bagi menguruskan seorang jenazah bergantung kepada faktor-faktor tertentu termasuk lokasi penghantaran.
Paling mengejutkan, sindiket terbabit turut didakwa bersekongkol dengan pihak tertentu yang terlibat secara langsung sebagai orang tengah untuk mendapatkan ‘job’ tersebut.
Difahamkan, proses untuk menguruskan jenazah warga asing yang beragama Islam menjadi sasaran sindiket terbabit kerana dikatakan lebih mudah untuk mengenakan caj tinggi.
Setiausaha Pertubuhan Ukhwah Kebajikan Van Jelata Selangor, Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Abdul Hadi Hakimi Abdul Rahman berkata, modus operandi itu sebenarnya telah lama berlaku, namun tiada pihak yang berani mendedahkannya.
“Sekiranya ada kes kematian, pengurusan khairat kematian atau kakitangan di sesebuah hospital akan menghubungi pihak pengurusan jenazah ini. Sindiket ini kemudian akan mengambil peluang untuk menguruskan jenazah dari proses mandi sehingga urusan pengebumian.
“Mereka juga akan menggunakan van jenazah yang diwakafkan kepada masjid-masjid. Caj yang dikenakan termasuk mandi, solat jenazah serta talkin memang tidak masuk akal,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya lagi, kos pengurusan juga adalah berbeza mengikut jarak penghantaran jenazah yang dibuat ke seluruh negara.
“Semakin jauh jarak yang dituju, semakin mahal caj yang dikenakan walaupun menggunakan van yang diwakafkan.
“Paling melampau apabila ada kisah yang dilaporkan kepada kami, seorang jenazah warga asing Indonesia telah diuruskan oleh mereka yang bukan Muslim, kemudian ditanam di tanah perkuburan bukan Muslim.
“Apa sebenarnya yang sudah berlaku, pihak berwajib sepatutnya ada pemantauan dalam hal ini. Ini bukan perkara main-main sehingga boleh menjatuhkan maruah Islam,” tegasnya.
Sementara itu, peningkatan jumlah kes kematian disebabkan Covid-19 ketika ini turut membuka peluang kepada sindiket ini untuk mengenakan caj tinggi.
Pengerusi Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Muhammad Rafieudin Zainal Rasid berkata, kebiasaannya pihak yang mengambil kesempatan bukan terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sebaliknya membabitkan syarikat pengurusan jenazah.
“Saya mula menguruskan jenazah pesakit Covid-19 sejak awal tahun lalu dan kerap menerima aduan dari keluarga waris yang terpaksa membayar kos pengurusan jenazah yang mahal.
“Berdasarkan pengalaman saya, NGO tidak terlibat, sebaliknya terdapat syarikat pengurusan jenazah yang mengenakan caj mahal kerana tahu waris tidak mempunyai pilihan ketika itu,” katanya.
Urus jenazah fardu kifayah, tidak perlu caj melampau
PETALING JAYA – Proses pengurusan jenazah umat Islam di Malaysia biasanya dilakukan oleh tiga pihak iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat berdaftar dan yang dilakukan secara fardhu kifayah.
Pengasas Yayasan Afizayub, Afiz Ayub berkata, sekiranya NGO tersebut mendapat hasil daripada dana orang ramai, ia sebenarnya tidak melibatkan sebarang caj kerana kos itu telah ditaja oleh penderma tertentu.
Bagaimanapun, katanya, bagi urusan yang dilakukan oleh syarikat pengurusan jenazah yang bukan daripada dana masyarakat, biasanya ia memerlukan bayaran tertentu.
“Bagi pengurusan atas dasar fardhu kifayah seperti yang dilakukan oleh pihak masjid, surau atau individu, ia adalah hasil infak atau tabung khairat kematian di mana tiada caj dikenakan,” jelasnya kepada Kosmo!.

Tambahnya, pihaknya tidak menafikan kewujudan sindiket atau ‘ulat’ dalam pengurusan jenazah yang mampu meraih RM1,000 untuk setiap jenazah.
“Bayangkan kalau sehari sehingga 10 jenazah yang diuruskan, berapa banyak keuntungan yang mereka peroleh. Tidak dinafikan, memang ada kos untuk menguruskan jenazah, namun hanya melibatkan kain kafan serta upah menggali kubur yang keseluruhannya dianggarkan sekitar RM350 sahaja.
“Terdapat juga syarikat bukan beragama Islam yang mengambil alih pengurusan jenazah dan mengupah individu beragama Islam untuk memandikan dan menguruskan di kubur,” jelasnya.
Penceramah bebas, Mohd. Rizalman Ahmad berkata, bila ada kematian, menguruskan jenazah, itu hukumnya fardu kifayah yang melibatkan komuniti setempat.
“Dalam kes mengenakan caj yang mahal ini, pihak terlibat janganlah rumitkan keadaan. Pengurusan jenazah memang diwajibkan untuk semua orang, janganlah sebab duit urusan itu menjadi sukar,” katanya. -K! ONLINE














