PADA musim ini, trend fesyen adalah tentang reka corak, warna dan tekstur ceria yang menarik disuai padan dalam pelbagai cara.
Gaya suai padan radikal ini cukup menyerlah, memukau dan adalah kunci gaya ekspresi serta keyakinan individualiti wanita melalui pilihan padanan pakaian.
Suai padan pakaian adalah kemahiran yang perlu ada apabila anda mahu ok tq
Konsep suai padan bermaksud kita mengambil dua tema yang kontras atau kombinasi pakaian untuk satu penampilan.
Pastikan anda memilih pakaian dalam siluet yang ringkas dan sederhana untuk lebih menyerlah dalam setiap keadaan dan acara.
Cara tersebut juga pasti dapat memperlihatkan keunikan setiap helaian pakaian tersebut.
Jangan takut untuk menambah ‘suntikan’ warna bagi menjadikan penampilan lebih menawan.
Sepasang kasut dalam rona terang atau mungkin topi yang menarik serta aksesori hebat selalunya dapat membuat transisi penampilan biasa menjadi lebih menarik dan elegan di mata umum.
Sebelum mempraktikkan konsep suai padan, cuba lihat dahulu apa yang sedia ada dalam almari anda.
Gunakan pemikiran kreatif untuk mendapatkan beberapa idea menarik kombinasi pakaian bagi memberi nafas baharu pada setiap helaian persalinan yang ada.

1.Gaya kasual
Jika biasanya anda memakai blazer jalur halus dengan padanan seluarnya, apa kata kali ini tukar kepada jean dan kasut ballet flats untuk gaya kasual yang bersahaja.
Sebagai tambahan, dapatkan beberapa pakaian baharu yang boleh menambah pelbagai gaya hebat pada pakaian sedia ada seperti skirt bercorak atau gaun sheath rona terang.
2.Pakaian asas
Apabila mahu membuat kombinasi gaya pakaian, gunakan pakaian asas untuk menyatukan gaya keseluruhan.
Kemeja-T hitam atau jean potongan lurus adalah contoh pakaian asas yang hebat digayakan dengan blazer bercorak atau seluar cropped.
Blazer, kardigan, tights dan skaf adalah antara padanan yang cukup versatil dan boleh menambah gaya pada penampilan dari siang hingga malam.
3.Reka corak
Reka corak berani dan terang sememangnya cukup popular untuk musim ini. Ambil peluang itu untuk luahkan ekspresi diri apabila mencuba konsep suai padan.
Gunakan corak di tempat yang tidak dijangka seperti pada skirt atau kasut tumit rendah dan gabungkan bersama padanan corak lain untuk lebih memberi impak.

Cuba padankan corak rumit dengan corak mudah seperti jalur atau polka dot untuk seimbangkan penampilan keseluruhan.
4.Rona senada atau kontras
Cuba gayakan pakaian dalam rona senada seperti biru dan biru kehijauan atau warna kontras seperti unggu dan kuning.
Jika anda memakai skaf bercorak, jadikan kombinasi warna skaf tersebut sebagai panduan untuk memilih rona bagi padanan pakaian dan aksesori.
Jadikan warna neutral seperti hitam, putih atau abu kecoklatan (beige) sebagai warna pelengkap gaya anda.
5.Kombinasi warna dan corak
Tiada manual undang-undang yang menyatakan anda hanya boleh menggayakan satu warna bagi setiap penampilan.
Bereksperimentasilah dengan kombinasi warna yang tidak pernah anda guna sebelum ini apabila menyuai padan fabrik bercorak atau polos.
Gayakan kombinasi corak flora, jalur dan petak dengan penuh yakin dan bersahaja untuk gaya lebih unik.
—————————————————————————-
FAIZAL HAMID ialah Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.
















