KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki warga asing cuba menyogok anggota kereta peronda polis (MPV) bagi mengelakkan dari disaman mengundang padah selepas dia ditahan semalam.
Dalam kejadian di sekitar Batu 3, Jalan Klang Lama itu, suspek yang juga seorang pemandu lori cuba menyogok anggota polis selepas melakukan kesalahan tidak berhenti di lampu isyarat merah.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti, Datuk Azman Ayob berkata, suspek warga asing berusia 26 tahun tersebut turut didapati tidak memiliki lesen memandu kelas E.
“Kejayaan ini menunjukan amalan integriti sentiasa dititikberatkan oleh semua warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan penugasan harian.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan menghormati hak serta keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, orang ramai juga diberi amaran agar tidak memberi rasuah kepada pihak polis yang menjalankan tanggungjawab mereka.
Kes disiasat di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen.- K! ONLINE














