PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang membuat siasatan berhubung dakwaan pemberian dos vaksin yang kurang daripada sepatutnya bagi vaksin AstraZeneca di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), baru-baru ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, KKM memandang serius dakwaan tersebut yang tular di media sosial.
“KKM dan ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) sedang membuat siasatan lanjut mengenai perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya lagi, bagi memastikan kualiti pengendalian vaksin berada pada tahap optimum, KKM menetapkan arahan tambahan dalam prosedur operasi standard (SOP) kepada semua pengendali vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) AstraZeneca.
“Antaranya, penyuntik vaksin perlu menunjukkan jarum suntikan yang telah diisi dengan vaksin mengikut kuantiti yang ditetapkan kepada penerima vaksin sebelum melakukan suntikan.
“Selain itu, penyuntik vaksin juga perlu menunjukkan jarum suntikan yang telah dikosongkan kepada penerima vaksin selepas suntikan dilakukan,” ujarnya.
Katanya, penambahan SOP ini akan diperluaskan ke semua PPV lain di samping pemantauan rapi terutamanya di PPV akan dipertingkatkan bagi memastikan SOP dipatuhi sepenuhnya.
Mengulas lanjut, Adham berkata, KKM akan sentiasa memastikan Program Pemberian Vaksin AstraZeneca dilaksanakan dengan jayanya dan selamat untuk rakyat negara ini.
Terdahulu, media melaporkan, terdapat dua kes kejadian yang melibatkan PPV Astrazeneca WTCKL berhubung pemberian dos vaksin yang kurang daripada dos yang sepatutnya, iaitu 0.5 mililiter. – K! ONLINE














