GEORGE TOWN – Jumlah individu warga emas di negeri ini yang telah menerima vaksin Covid-19 dilihat berada pada tahap amat tidak memuaskan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, daripada jumlah pendaftaran 210,902 individu di aplikasi MySejahtera, sebanyak 125,866 pendaftaran adalah diterima daripada mereka berusia 60 tahun ke atas.
“Bagaimanapun, sehingga 15 Mei lalu, hanya 31,412 orang (warga emas dan morbiditi) menerima dos suntikan pertama.
“Ini menunjukkan peratusan mereka yang telah menerima vaksin kini adalah amat tidak memuaskan kerana berdasarkan Jabatan Perangkaan, sasaran populasi Fasa 2 negeri ini adalah 460,800 orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Jabatan Kesihatan negeri akan melaksanakan pendekatan outreach ke pusat-pusat jagaan warga emas bagi memastikan 2,185 penghuni di 49 buah pusat jagaan berdaftar berkaitan di seluruh negeri memperoleh suntikan vaksin.
“Malah, inisiatif yang dijangka dimulakan minggu ini itu juga bakal meliputi para penghuni di pusat-pusat jagaan warga emas tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Kerajaan negeri dalam pada itu menggesa supaya proses pemberian vaksin Fasa 2 membabitkan kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas dan morbiditi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dipercepatkan,” katanya lagi. – K! ONLINE