KUALA LUMPUR – Permainan video yang dahulunya hanya dianggap sebagai aktiviti mengisi masa lapang kini tidak lagi dipandang sekadar hobi menerusi penganjuran AdikBeradik Championship Series 2026 (ABCS2026).
Kejohanan berasaskan permainan Grand Theft Auto (GTA) yang berlangsung di The Arch Galleries, Kuala Lumpur semalam dilihat mampu mewujudkan platform kompetitif selain peluang kerjaya kepada peserta.
Pertandingan julung kali yang dianjurkan AdikBeradik Kuala Lumpur (ABKL) itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM35,000 dengan lapan daripada 24 pasukan berentap di final selepas mengharungi tiga aksi kelayakan.
Pengurus Projek ABCS2026, Aliff Eiman Ajami berkata, Kejohanan itu diadakan sebagai platform kepada pemain-pemain mengetengahkan bakat serta kemahiran selain membuktikan permainan video boleh menjadi kerjaya.
“Kami mahu menghimpunkan pemain dan menyediakan platform untuk mereka menyerlahkan bakat. Kejohanan ini bukan sekadar bermain permainan video, sebaliknya kami mahu membuktikan apa yang mereka lakukan itu juga sebenarnya boleh dijadikan kerjaya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ABKL, Muzammil Mudzakir berkata, sambutan hangat yang diterima memberi semangat kepada pihaknya untuk meluaskan lagi skop ABCS pada masa depan, termasuk membuka penyertaan kepada pemain luar negara.

“Ini kali pertama kami menganjurkan kejohanan besar dan saya sendiri terkejut dengan sambutan luar biasa. Harapan saya agar ABCS dapat diperluas bukan sahaja dalam kalangan peminat GTA, malah kepada pemain industri e-Sukan secara keseluruhannya.
“Mungkin pada masa akan datang ada peserta dari luar negara. Melalui cara itu, kita bukan sahaja dapat memperkenalkan komuniti GTA tempatan kepada pemain luar, tetapi juga mempromosikan e-Sukan tempatan di persada dunia,” ujarnya.
Gelaran juara edisi sulung itu menjadi milik pasukan 20 Thief Street yang membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 berserta trofi manakala Seven Dragon meraih RM7,000 selaku naib juara sementara AB Rakyat menerima RM4,000 di tempat ketiga.
Sementara itu, ikon permotoran tanah air, Hafizh Syahrin Abdullah turut memeriahkan kejohanan menerusi penyertaan dalam kategori Influencer Show Match bersama AB All Star dan AB RXZ dan dia menyifatkan kejohanan itu membuka ruang buat penstrim muda menceburi e-Sukan.
“Acara seperti ini membuka peluang kepada penstrim muda yang mahu mencuba bidang e-Sukan. Jika dahulu ada ibu bapa menganggap bermain permainan video membuang masa dan tiada masa depan, kini sudah ada pelbagai platform untuk menjadikannya sebagai kerjaya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














