PETALING JAYA – Polis menafikan pihaknya memberikan layanan istimewa terhadap majikan kepada dua orang pengawal peribadi yang dipukul ketika suspek di bawa ke Mahkamah Kuala Lumpur tanpa digari sebelum ini.
Sebaliknya, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, suspek ketika itu bukan dalam tahanan polis dan dia telah pun diberi jaminan sebelum diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.
Katanya, polis tidak boleh menangkap semula dan menggari suspek atas kesalahan yang sama hanya semata-mata untuk tujuan dibawa ke mahkamah.
“Justeru, tidak timbul isu suspek mendapat layanan istimewa kerana undang-undang telah menetapkan bahawa tiada siapa yang boleh ditangkap atas kesalahan yang sama sepertimana yang termaktub di bawah artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Mengulas mengenai isu lelaki berkenaan di bawa ke mahkamah tanpa memakai baju lokap pula, Mohamad Zainal berkata, perkara itu masih mematuhi prosedur yang telah ditetapkan dalam Perintah Tetap Ketua Polis Negara A118.
Menerusi prosedur itu katanya, apabila banduan dibawa ke mahkamah, dia hendaklah memakai pakaian yang dipakai semasa ditangkap melainkan pakaian berkenaan dijadikan barang kes.
Justeru, Mohamad Zainal menggesa orang ramai agar tidak memanipulasi isu berkenaan sehingga boleh menyebabkan salah faham, menimbulkan kekeliruan, dan menggambarkan keadaan yang tidak
tepat sehingga boleh menjejaskan reputasi serta imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) di mata masyarakat.-K! ONLINE.