Selepas 13 tahun menunggu, dua kali tertangguh dan beberapa kebocoran maklumat, para pemain permainan video di seluruh dunia kini teruja dengan pelancaran siri terbaharu Grand Theft Auto (GTA).
Permainan video paling mahal pernah dibangunkan itu dijangka memecahkan rekod jualan tertinggi di dunia menjelang hujung tahun ini.
Dikenali sebagai GTA VI, permainan video itu mula ditawarkan untuk peranti PlayStation 5 dan Xbox Series pada hari Khamis lalu, tepat pukul 12 tengah malam waktu tempatan di setiap wilayah.
Ini bermakna, permainan itu pertama kali dilancarkan di New Zealand kerana berada paling timur dalam peta dunia.
“Saya sudah lama bermain GTA, dan keterujaan untuk siri ini terasa sangat luar biasa,” kata pelajar dari Australia, Riley Fennel kepada AFP.
Walaupun studio di sebalik pembikinan GTA, Rockstar Games, masih belum mendedahkan angka jualan rasmi, namun firma pakar, Sensor Tower menganggarkan jumlah jualan sudah pun melebihi 15 juta unit.
Angka itu bersamaan lebih daripada AS$1.5 bilion (RM6.5 bilion), sebelum permainan tersebut dilancarkan secara rasmi.
Angka itu dijangka lebih besar berbanding bajet pembangunan permainan berkenaan yang dianggarkan antara AS$1.5 bilion (RM4 bilion hingga RM6.5 bilion).
Menurut firma analitik dari Britain, Omdia, jualan GTA VI berpotensi mencecah AS$3.2 bilion (RM13.2 bilion) menjelang hujung tahun ini.
“Tiada konsert atau filem pecah panggung yang pernah menjana pendapatan sebesar itu. Ini menjadikannya satu fenomena luar biasa dalam industri hiburan.
“Ini adalah ‘Taylor Swift’ bagi permainan video,” kata Joost van Dreunen, seorang profesor di Stern School of Business, Universiti New York, Amerika Syarikat (AS).
Sementara itu, penerbit dari AS, Take-Two Interactive yang merupakan syarikat induk Rockstar Games telah melancarkan kempen pemasaran besar-besaran bagi meletakkan GTA sebagai produk budaya massa melangkaui batasan dunia permainan video.
“Jangkauan permainan ini begitu luas sehingga memberi kesan rantaian terhadap kadar penglibatan pada perkhidmatan hiburan lain seperti platform penstriman,” jangka James McWhirter, wakil dari Omdia.
Bagi seorang pemain berusia 27 tahun dari Ukraine yang menetap di Berlin, Jerman, Dmytro Shkambara, dia akan mengambil cuti selama empat hari untuk sesi permainan GTA pertamanya.
Sama seperti Shkambara, ramai peminat telah menempah cuti lebih awal untuk menyelami dunia fiksyen negeri Leonida yang diinspirasikan daripada Florida.
Sementara itu, platform sumber manusia, Remote memaklumkan, pihaknya menyaksikan peningkatan sebanyak 32 peratus bagi permohonan cuti di seluruh dunia untuk tarikh 19 November lalu.

GTA VI digembar-gemburkan sebagai lebih besar, lebih baik dan lebih realistik berbanding siri sebelumnya. Siri terbaharu itu mengisahkan pengembaraan pasangan ala
Bonnie dan Clyde yang meneruskan kelangsungan hidup di bandar fiksyen sering dilanda jenayah.
Sejak awal kemunculan, siri itu berjaya menambat hati pemain menerusi pembinaan semula bandar-bandar fiksyen diinspirasikan daripada kota raya di AS serta kebebasan bertindak dalam dunia terbuka yang sangat terperinci.
Pemain yang meneroka dunia GTA boleh memandu kereta, menerbangkan pesawat dan melakukan terjunan udara.
GTA VI juga menjanjikan tahap realisme yang lebih tinggi di mana penampilan watak boleh berubah bergantung kepada pemakanan mereka. Jadi, pemain perlu berusaha memupuk hubungan antara kedua-dua watak utama itu.
Selepas pelancaran, GTA VI berjaya meraih lapan pencalonan di acara The Game Awards, majlis anugerah berprestij itu mengiktiraf permainan video terbaik 2026 pada 10 Disember nanti.
Untuk makluman, Rockstar Games yang mempunyai sedozen studio di seluruh dunia dan lebih daripada 4,700 orang pekerja menghabiskan masa lebih lapan tahun untuk membangunkan siri GTA.
Namun, pengeluaran aktif GTA VI hanya bermula selepas pelancaran permainan video keluaran Rockstar Games terdahulu iaitu Red Dead Redemption II pada tahun 2018.
Ia merupakan perjalanan yang penuh liku menuju ke tarikh pelancaran pemainan video berkenaan.
Pada tahun 2022, dunia gamers digemparkan oleh beberapa siri kebocoran maklumat serta penyebaran video permainan GTA VI secara dalam talian.
Disebabkan itu, Rockstar Games menangguhkan pelancarannya sebanyak dua kali, sebelum berdepan satu lagi gelombang kebocoran baharu pada musim panas lalu.
Permainan itu juga sering dituduh mengagungkan keganasan dan tingkah laku menyalahi undang-undang kerana GTA telah mencipta tempat tersendiri dalam budaya pop.
Permainan itu menjadi simbol subversif yang tidak gentar mempersendakan kepincangan masyarakat di AS, dengan pemain boleh melanggar pejalan kaki, menjual dadah dan menembak polis.
“Ia merupakan siri yang terkenal kerana sentiasa melampau dari segi paparan keganasan dan pelbagai bentuk penderaan atau gangguan serta cara ia menggambarkan isu gender.
“Saya tidak menjangkakan berlaku kontroversi besar, melainkan terdapat sesuatu yang benar-benar baharu,” ujar Paolo Ruffino, pensyarah budaya digital di King’s College London, Britain.
Pun begitu, akibat daripada legasinya yang penuh skandal, beberapa negara telah mengharamkan siri permainan itu. Buat masa ini, tiada pelancaran rasmi permainan itu dirancang di Rusia, China, Lebanon dan Qatar. – AFP














