GEORGE TOWN – Seorang pemandu wanita terbunuh selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar sebatang pokok berdekatan sebuah hospital swasta di Jalan Masjid Negeri di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.20 pagi itu, mangsa, Aw Sin Wei, 25, maut di tempat kejadian disyaki akibat kecederaan parah.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 3.24 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak bergegas ke lokasi kejadian.
“Apabila sampai, didapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta jenis Volkswagen yang telah terbabas dan melanggar sebatang pokok besar.
“Terdapat seorang mangsa wanita yang tersepit dan anggota bomba melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas menyelamat,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, mangsa berjaya dikeluarkan pada pukul 3.43 pagi dan disahkan meninggal dunia oleh wakil Kementerian Kesihatan. – K! ONLINE














