DUNIA pencuci mulut sentiasa menawarkan ruang untuk kreativiti, khususnya apabila cef berani keluar daripada kebiasaan dengan menggabungkan pelbagai cita rasa dan teknik penyediaan.
Keunikan itu dapat dilihat menerusi hasil kreativiti Sweet Passion Premium Cakes yang mengetengahkan sajian kek dengan gabungan rasa tradisional dan moden sekali gus memberikan pengalaman berbeza kepada penggemar manisan.
Antara tarikan utamanya ialah nasi lemak tiramisu, satu pencuci mulut istimewa yang menggabungkan hidangan ikonik rakyat Malaysia dengan teknik pembuatan pastri dari Barat.
Dihasilkan menerusi kreativiti cef pastri, May Foo, sajian itu bukan sekadar percubaan menghasilkan kek dengan rasa luar biasa, sebaliknya membawa kisah identiti dan memori makanan tempatan ke dalam dunia pencuci mulut.
“Idea menghasilkan nasi lemak tiramisu tercetus daripada pengalamannya membesar dengan menikmati nasi lemak yang menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian.
“Bagi saya, nasi lemak bukan sekadar hidangan, malah mempunyai nilai sentimental kerana mewakili budaya, kenangan zaman kanak-kanak dan identiti masyarakat Malaysia,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa di Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, menggunakan asas tiramisu yang terkenal dengan tekstur berkrim dan lapisan mascarpone, dia mengolah beberapa elemen nasi lemak bagi menghasilkan kombinasi rasa manis, lemak, masin dan pedas.
Santan memberikan aroma serta rasa yang dekat dengan hidangan asal, manakala mascarpone menghasilkan tekstur lembut dan berkrim.
Lebih menarik, sambal turut dimasukkan bagi memberikan sentuhan pedas dan rasa savuri, sementara ikan bilis rangup serta kacang tanah melengkapkan sajian dengan tekstur yang berbeza.
Kongsinya lagi, gabungan tersebut menghasilkan pengalaman menikmati pencuci mulut yang tidak konvensional kerana setiap suapan menawarkan perubahan rasa daripada lemak berkrim kepada masin dan sedikit pedas.
May menjelaskan, cabaran utama menghasilkan nasi lemak tiramisu adalah memastikan identiti nasi lemak kekal terserlah tanpa menjejaskan karakter asal tiramisu.
“Proses penyediaannya memerlukan penelitian terhadap keseimbangan rasa, kelembapan, tekstur dan kestabilan setiap komponen supaya hasil akhirnya bukan sekadar unik dari segi idea, tetapi tetap enak dinikmati.

“Selain nasi lemak tiramisu, Sweet Passion Premium Cakes turut meneroka gabungan bahan tempatan dan antarabangsa menerusi beberapa variasi kek menarik. Antaranya jasmine pandan roll yang menggabungkan aroma teh melati dengan pandan dalam bentuk kek gulung yang lebih dekat dengan cita rasa penggemar manisan,” ujarnya.
Katanya lagi, kombinasi tersebut memperlihatkan bagaimana bahan yang sinonim dengan budaya minum teh dan masakan tempatan boleh diberikan nafas baharu menerusi teknik pastri moden.
Aroma pandan yang harum bersama karakter teh melati menawarkan profil rasa tersendiri tanpa terlalu bergantung kepada kemanisan.
Satu lagi pilihan ialah Boh masala chai carrot cake yang menggabungkan kek lobak merah gaya Barat dengan kehangatan rempah masala chai.
Penggunaan teh Boh memberikan karakter tersendiri kepada kek berkenaan, sekali gus menghasilkan gabungan rasa yang lebih kompleks.
“Kreativiti saya dalam menghasilkan variasi kek berkenaan dipengaruhi pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pembuatan pastri.
“Bagi saya, kreativiti perlu bergerak seiring dengan disiplin dan penguasaan teknik kerana setiap idea baharu memerlukan proses percubaan serta penambahbaikan sebelum dapat dihasilkan dengan sempurna,” jelasnya.
Dalam memastikan mutu produk, pemilihan bahan turut menjadi keutamaan. Antaranya penggunaan Emborg Mascarpone untuk memberikan tekstur berkrim kepada tiramisu, Lurpak Butter bagi menyokong aroma dan tekstur produk bakeri serta teh BOH untuk menghasilkan karakter rasa yang tersendiri.
Bagi yang ingin mencuba hasil kreativiti Sweet Passion Premium Cakes, produk mereka boleh diperoleh di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur.
Pelanggan juga boleh mendapatkan kek Sweet Passion Premium Cakes menerusi tempahan dalam talian di laman web www.sweetpassion.com.my.
Pengguna boleh mengikuti platform media sosial Sweet Passion Premium Cakes untuk mendapatkan maklumat berkaitan. Selain itu, tempahan kek untuk sambutan hari lahir, ulang tahun dan majlis istimewa juga boleh dibuat menerusi laman web berkenaan.














