Rafizi (tengah) ketika berkempen pada PRN Melaka baru-baru ini.

PRN Melaka: AMK mahu Rafizi dedah perbelanjaan parti Bersama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Pemimpin Parti Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli digesa mendedahkan secara terperinci maklumat perbelanjaan serta perolehan dijana parti itu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memandangkan parti Kancil masih baharu dalam landskap politik negara.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan, Huraimi Hilman berkata, gesaan itu dibuat berikutan parti Bersama yang masih baharu dilihat mampu menggerakkan kempen dengan perbelanjaan besar.

Ini kerana, katanya, asas pembinaan sesebuah parti politik seharusnya bermula dengan kerja-kerja khidmat masyarakat, pengukuhan akar umbi dan usaha mendekati rakyat.

“AMK percaya bahawa kepercayaan rakyat tidak boleh dibeli melalui kempen besar, bahan promosi yang mewah atau perbelanjaan politik yang tinggi.

“Kepercayaan perlu dibina melalui kehadiran yang konsisten, keprihatinan terhadap masalah masyarakat serta kesungguhan memperjuangkan kepentingan rakyat,” katanya hari ini.

Sebelum ini, parti Kancil mendedahkan penyata kewangan kempen parti itu pada PRN Johor dengan menyifatkan amalan tersebut akan diteruskan dalam semua pilihan raya yang disertainya pada masa depan.

Dalam pada itu Huraimi turut mempersoalkan apakah ukuran kejayaan sesebuah parti politik sama ada ia terletak pada jumlah wang yang dibelanjakan untuk pilihan raya atau sejauh kebolehan mereka membina hubungan dan kepercayaan rakyat.

“AMK tidak mempertikaikan hak mana-mana parti untuk berbelanja bagi tujuan kempen pilihan raya. Namun, apabila perbelanjaan yang besar menjadi persoalan awam, penjelasan mengenai sumber dana, jumlah sumbangan dan pecahan penggunaannya adalah sesuatu yang wajar dituntut.

“Lebih penting, wang yang digunakan dalam politik tidak seharusnya menjadi ukuran utama kekuatan sesebuah parti.

“Sebaliknya, sumber dan tenaga yang dimiliki perlu dimanfaatkan untuk membina masyarakat, membantu golongan memerlukan dan menyelesaikan permasalahan rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN