BUKAN penyanyi dengan deretan trofi anugerah, namun relevansi Mawi sebagai penghibur kesayangan Malaysia tetap kukuh. Kemunculannya dalam dalam GVF kini dinanti-nantikan peminat.

‘Anggap saja show mingguan GVF macam hari keluarga AF’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LEBIH dua dasawarsa selepas mencetuskan fenomena menerusi Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), penyanyi Mawi terus membuktikan dirinya masih mempunyai tempat tersendiri dalam industri muzik tanah air apabila kembali dengan single terbaharu berjudul Pawana Pawaka.

Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 45, pernah mencetuskan fenomena luar biasa pada 2005 sehingga melahirkan gelombang ‘tsumawi’, sekali gus menjadikan tagline Mawi World yang cukup sinonim dengan namanya.

Populariti yang diraih ketika itu bukan sekadar mencipta fenomena, malah membuka laluan buat Mawi menghasilkan deretan lagu popular seperti Aduh Saliha, Lagu Jiwa Lagu Cinta dan Kian yang terus menjadi sebahagian daripada perjalanan seninya.

Terbaharu, kemunculannya menerusi program Gegar Vaganza (GV) Fantasia menghidupkan kembali nostalgia perjalanan seni yang bermula daripada AF3, sekali gus memberi peluang kepada peminat menyaksikan perkembangan vokal serta kematangan persembahannya.

Menerusi GV Fantasia, Mawi juga teruja apabila rakan baiknya, Felix terpilih bertanding menerusi tiket ‘hot seat’.

“Itu yang saya paling gembira sekali. Sebenarnya, di AF3 dulu, saya rapat dengan Felix. Baru-baru ini, apabila dia terima pelawaan untuk terlibat dalam konsert saya, memang saya menangis. Masakan tidak, kami masa AF3 tinggal sebilik, sekatil dan seselimut. Kalian boleh bayangkan betapa rapatnya,” katanya kepada HibGlam.

Baru-baru ini, Mawi turut meraikan perjalanan lebih dua dekad dalam industri menerusi konsert solo The Journey Of Mawi World yang berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 8 November lalu.

Mengulas lanjut, Mawi sama seperti Felix yang datang dari kampung demi mengejar nama sebagai bintang sebelum membawa haluan masing-masing usai tamat pertandingan.

“Duduk satu rumah, belajar sama-sama dan kami datang dari kampung. Lepas habis konsert, saya tak dapat jumpa dia tapi saya WhatsApp dia, doa moga dia masuk GV Fantasia. Memang betul-betul dia masuk.

“Saya tak anggap bersaing pun dalam GV Fantasia. Anggap sahaja buat show tiap-tiap minggu. Macam hari keluarga AF, ” ujarnya.

MAWI kini muncul dengan single baharu berjudul Pawana Puaka.

Kini, Mawi membuka lembaran baharu menerusi Pawana Pawaka yang menyaksikan kolaborasi istimewa antara AJ Productions Sdn. Bhd. dan Sheikh Qalam Records Sdn. Bhd., sekali gus menghubungkan bakat kreatif dari Sabah dengan nama besar industri muzik tempatan.

Lagu ciptaan Jasnie Mohd Yaakub dengan lirik nukilan Kamarudin Hasim itu diterbitkan menerusi kerjasama kedua-dua syarikat berkenaan, manakala pengedarannya dikendalikan AJ Productions.

Pengarah Urusan AJ Productions, Asmi Datuk Andi Yakin berkata, kerjasama tersebut cukup bermakna buat syarikatnya kerana menjadi pengalaman pertama mereka menerbitkan karya untuk penyanyi berkenaan.

“Kolaborasi ini membuka ruang kepada bakat kreatif Sabah untuk menembusi pasaran muzik tanah air.

“Ini juga menjadi pencapaian penting dalam usaha AJ Productions memperluas penglibatan di pentas muzik nasional, selain membuka ruang pertemuan antara bakat kreatif Sabah dengan nama besar industri hiburan Malaysia,” katanya.

Pawana Pawaka dirakam sepenuhnya dengan penglibatan barisan pemuzik berpengalaman dalam industri muzik Malaysia, sekali gus menggabungkan kekuatan tenaga kreatif dari Sabah dengan kepakaran pemuzik tempatan.

Video muzik (MV) lagu berkenaan yang mula dimuat naik menerusi saluran YouTube AJ Productions Sdn. Bhd. pada 8 November lalu turut mendapat perhatian penonton.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN