PETALING JAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Direktorat Jenderal Bea dan Cukai (DJBC), Republik Indonesia menggerakkan 19 aset maritim menerusi Operasi Patroli Terkoordinasi Kastam Indonesia dan Malaysia (Patkor-Kastima) Bilangan 30A Tahun 2026 bagi memperkukuh rondaan dan membanteras penyeludupan di perairan Selat Melaka.
Operasi ini dirasmikan oleh Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Amran Ahmad, di Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai, Johor, manakala majlis perasmian turut dihadiri Bapak Djaka Budhi Utama, Direktur Jenderal Bea dan Cukai, Direktorat Jenderal Bea dan Cukai Republik Indonesia.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerusi kenyataannya memaklumkan, aset yang terlibat terdiri daripada 10 bot ronda laju JKDM serta sembilan aset DJBC, iaitu enam kapal patroli dan tiga bot ronda laju.
“Rondaan dilaksanakan berdasarkan pembahagian sektor yang dipersetujui melalui Prosedur Tetap Operasi (Protap) antara kedua-dua negara.
“Kawasan rondaan Malaysia meliputi perairan dari Perlis hingga Sungai Pulai, Johor manakala kawasan rondaan Indonesia merangkumi perairan dari Aceh hingga Batam,” menurut JKDM hari ini.
Kenyataan itu memaklumkan, Selat Melaka merupakan laluan perdagangan maritim yang strategik dan sibuk dengan lebih 100,000 pergerakan kapal direkodkan setiap tahun.
“Kepadatan aktiviti maritim serta modus operandi sindiket yang semakin kompleks menuntut rondaan, perkongsian maklumat dan penyelarasan tindakan penguatkuasaan yang berterusan.
“Patkor-Kastima yang dilaksanakan sejak 1994 mencerminkan komitmen lebih tiga dekad antara JKDM dengan DJBC dalam menangani penyeludupan dan jenayah rentas
sempadan,” ujarnya.
Menurut JKDM, pelaksanaan Operasi Patkor-Kastima bilangan 29A pada 2025 merekodkan lima kes, terdiri daripada dua kes berkaitan dadah yang melibatkan
ganja dan bunga ganja serta tiga es rokok putih.
“Nilai keseluruhan rampasan, termasuk duti dan cukai berjumlah RM558,344. Skala ancaman penyeludupan turut digambarkan melalui rekod penguatkuasaan JKDM
pada 2025 iaitu sebanyak 7,097 kes dengan nilai rampasan keseluruhan RM1.88 bilion.
“Pelaksanaan operasi bilangan 30A ini diharap terus memperkukuh kehadiran penguatkuasaan maritim serta melindungi keselamatan perairan dan kepentingan ekonomi Malaysia dan Indonesia,” katanya. – KOSMO! ONLINE














