Khaled bergambar pada Majlis Peluncuran Hari Integriti Kementerian Pertahanan 2026 di Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/KOSMO!

Datang lewat, culas kerja boleh hakis integriti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mesti bebas daripada sebarang bentuk ketirisan integriti, bukan sahaja melibatkan kesalahan besar seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa, malah amalan harian yang boleh menghakis nilai integriti dalam organisasi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, integriti sebenar bukan diuji ketika diperhatikan atau diawasi, tetapi ketika mempunyai pilihan dan peluang untuk mengambil jalan mudah, menyembunyikan kesilapan atau menggunakan kesempatan demi kepentingan sendiri.

“Integriti tidak semestinya bermula dengan perkara besar, sebaliknya ia harus bermula daripada perkara kecil yang kita lakukan setiap hari. Kita sering mengaitkan ketirisan integriti dengan kesalahan besar seperti rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

“Jangan kita lupa bahawa integriti boleh terhakis melalui amalan harian yang tidak betul. Lewat datang ke pejabat, tidak menggunakan masa bekerja dengan baik, culas menyiapkan tugasan, mencuri tulang, bersembang kosong semasa bertugas dan mengabaikan tanggungjawab secara sengaja,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap Majlis Pelancaran Hari Integiriti Kementerian Pertahanan 2026 di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, bagi anggota ATM pula, kesalahan tersebut seperti tidak mengendalikan aset secara cermat atau menjalankan operasi sambil lewa di sempadan atau perairan negara hanya kerana tiada pegawai atasan melihat atau memantau.

“Semua ini mungkin dilihat dan dianggap kecil, tetapi ia sebenarnya berpotensi menjadi satu isu integriti yang serius. Kedua, dengan segala pembangunan teknologi semakin besar, keperluan kita untuk mempertahankan integriti juga semakin besar.

“Kita percaya bahawa teknologi dan pendigitalan adalah sesuatu yang mampu meningkatkan integriti. Ia berupaya mengurangkan ketirisan, menyegerakan proses dan mengukuhkan transparansi.

“Namun, dalam era digital, kecerdasan buatan atau AI dan media sosial, teknologi juga mewujudkan risiko baharu. Penyalahgunaan akses sistem, perkongsian maklumat tanpa kebenaran, manipulasi data, penggunaan AI tanpa kawalan dan penggunaan sesuatu maklumat demi kepentingan diri,” katanya.

Beliau berkata, semua itu boleh menjejaskan keselamatan maklumat serta kepentingan pertahanan negara.

“Kita perlu ingat bahawa teknologi tidak mempunyai pertimbangan moral dan etika dengan sendirinya. Kita sebagai penggunalah yang perlu menentukan bagaimana teknologi itu digunakan,” katanya.

Pada majlis itu, turut dilancarkan Sistem Aduan Integriti Kementerian Pertahanan, iaitu satu platform rasmi untuk saluran maklumat dan aduan berhubung sebarang salah laku, ketirisan dan kelemahan integriti.

Selain itu, seramai 34 orang Pegawai Perhubungan Integriti turut dilantik dari pelbagai bahagian dan jabatan di Kementerian Pertahanan untuk memastikan agenda integriti dapat digerakkan secara menyeluruh sehingga ke peringkat pelaksanaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN