AARON (depan) dan Roy King tidak bernasib baik apabila tewas tipis kepada pasangan Indonesia di pusingan kedua. - AFP

Terbuka Hong Kong: Misi Aaron-Roy King berakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Hasrat beregu lelaki negara, Aaron Tai-Yap Roy King untuk meneruskan kemaraan pada Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong tidak kesampaian apabila tersingkir di pusingan kedua.

Pada perlawanan yang berlangsung di Kai Tak Arena sebentar tadi, gandingan yang sedang meningkat naik itu terpaksa akur tewas dalam aksi tiga set 11-21, 21-18, 19-21 kepada beregu Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin.

Turun dengan motivasi cukup tinggi selepas memenangi kejohanan Kumamoto Masters minggu lalu, Aaron-Roy King dilihat lambat ‘panas’ apabila banyak memberikan ruang kepada pasukan lawan sebelum tewas set pertama.

Bagaimanapun, aksi mereka di set kedua nyata berbeza apabila mula mempamerkan corak permainan sebenar dan langsung tidak memberikan peluang kepada beregu Indonesia itu untuk memimpin perlawanan.

Pertahanan kebal serta serangan agresif dipamerkan Aaron-Roy King meletakkan Carnando-Marthin dalam keadaan tertekan sebelum menang 21-18, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Memasuki set ketiga, perlawanan berlangsung cukup sengit apabila kedua-dua beregu saling bertukar servis sehingga ke detik penentuan apabila Aaron-Roy King dan Carnando-Marthin terikat 19-19.

Ketika faktor nasib menjadi penentu, tuah lebih memihak kepada pasangan Indonesia apabila berjaya mencatat kemenangan 21-19, seterusnya melangkah ke pusingan suku akhir yang berlangsung esok.

Sementara itu, situasi sama turut dialami perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching apabila tewas 22-20, 14-21, 15-21 kepada pilihan ketiga dari Thailand, Ratchanok Intanon. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN