PETALING JAYA – Hujan lebat berterusan sejak pukul 6 petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di Bentong termasuk Karak, Pahang dinaiki air sehingga mengakibatkan banjir kilat malam ini.
Kejadian itu turut mencetuskan kebimbangan penduduk apabila beberapa rakaman video yang tular di media sosial memperlihatkan keadaan jalan raya ditenggelami air, selain terdapat kenderaan yang terperangkap dalam banjir.
Menerusi satu hantaran tular di media sosial, seorang pengguna mendakwa hujan lebat yang melanda Karak sejak petang tadi masih belum menunjukkan tanda-tanda akan reda.
Pengguna berkenaan turut menasihatkan orang ramai yang merancang untuk memasuki Karak supaya menangguhkan perjalanan berikutan keadaan jalan yang didakwa tidak dapat dilalui.
“Hujan lebat dari pukul 6 petang dan sampai sekarang masih lebat lagi. Yang nak masuk Karak, tangguhkan dahulu perjalanan anda sebab jalan memang tidak boleh dilalui buat masa sekarang. Doakan semoga dipermudahkan urusan warga Karak,” katanya.
Sementara itu, pengguna Threads, @alanraz84 turut berkongsi beberapa rakaman video menunjukkan keadaan banjir kilat yang melanda kawasan berkenaan.
“Malam ini hujan lebat di Bentong. Di Karak ada kawasan air sudah naik,” katanya.
Berdasarkan rakaman yang dikongsikan, sebuah kereta berwarna putih berada dalam kawasan banjir dengan paras air hampir mencecah bahagian tingkap kenderaan berkenaan.
Banjir kilat tersebut sekali gus menyebabkan keadaan trafik di laluan Terowong Karak menghala ke Kuala Lumpur mengalami kesesakan apabila kenderaan dilihat berbaris panjang dan tidak bergerak.
Perkara itu dikongsikan seorang pengguna Threads, @isyukk yang memuat naik gambar keadaan trafik di laluan berkenaan.
“Lalu lintas tidak bergerak di Terowong Karak-Kuala Lumpur. Apa cerita?” soalnya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman turut memaklumkan beliau menerima laporan mengenai beberapa kawasan yang dinaiki air susulan hujan lebat malam ini.
Beliau menerusi hantaran di Threads meminta penduduk supaya sentiasa berwaspada dan peka terhadap sebarang amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa.
“Hujan lebat di sekitar Bentong sekarang ini. Saya juga dimaklumkan ada beberapa kawasan dinaiki air atau banjir kilat.
“Minta supaya penduduk sentiasa berwaspada dan peka terhadap sebarang amaran daripada pihak berkuasa,” katanya.
Young Syefura turut memaklumkan penduduk yang memerlukan bantuan boleh menghubungi talian pejabatnya di 017-901 5500.
“Boleh juga maklumkan hotline pejabat saya jika memerlukan apa-apa. Semoga tiada kejadian yang serius dan dijauhkan daripada bencana, insya-Allah,” katanya.– KOSMO! ONLINE














