BUYA Hamka atau nama lengkapnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah (Hamka) bukanlah susuk asing di dunia Nusantara.
Lelaki yang lahir pada 17 Februari 1908 di Sumatera Barat, Indonesia itu terkenal sebagai ulama, sasterawan, ahli falsafah dan aktif dalam politik.
Hamka merupakan putera daripada pasangan Abdul Karim Amrullah ‘Haji Rasul’ dan Safiyah. Ia merupakan anak pertama daripada empat bersaudara.
Sejak kecil, beliau hidup dalam tradisi Islam yang kuat. Beliau belajar membaca al-Quran dan bacaan solat di bawah bimbingan, kakak tirinya, Fatimah.
Dari segi pendidikan, Hamka hanya belajar sehingga Gred 2. Selepas itu, beliau dibawa oleh bapanya untuk belajar agama di Thawalib Sumatera.
Namun, beliau tidak suka menghadiri pengajian di sana, sebaliknya lebih gemar belajar dengan caranya sendiri iaitu menghabiskan masa di perpustakaan membaca buku pelbagai tema.
Bahan yang dibaca oleh beliau tentunya berlainan daripada diajar di Thawalib yang menyebabkan ayahnya berkata: “Adakah anda akan menjadi orang yang soleh atau menjadi seorang pencerita?”
Minat membacanya yang mendalam menyebabkan ruang lingkungan bacaan Hamka sangat luas. Daripada membaca manuskrip Arab sehingga kepada falsafah Yunani purba. Maka tidak pelik jika kita mendapati karya-karya Hamka menyentuh pelbagai disiplin ilmu.

Sejak muda, Hamka dikenali sebagai seorang yang suka berkelana. Beliau pernah merantau ke Yogjakarta ketika masih berusia 16 tahun.
Di Yogyakarta, beliau belajar pergerakan Islam moden daripada sejumlah tokoh seperti H.O.S Tjokroaminoto, Ki Bagus Hadikusumo, R.M Soerjopranoto dan H. Fachruddin.
Beliau juga pernah tinggal di Medan. Setelah melakukan ibadah haji, beliau tidak pulang ke Padang Panjang, sebaliknya tinggal di Medan.
Di Medan, beliau mula melibatkan diri dalam dunia jurnalis. Mula-mula, beliau menulis untuk Pelita Andalas iaitu akhbar milik orang Cina. Beliau juga menulis tentang ibadah haji dan gerakan reformasi Islam di Minangkabau.
Roman pertama Hamka ialah Si Sabariah. Hasil daripada jualan novel Si Sabariah, Hamka berjaya membiayai pernikahannya.
Setelah menikah, Hamka menulis kisah Laila Majnun yang dirungkai Hamka menerusi khayalannya setelah membaca hikayat Arab. Pada tahun 1932, penerbit utama ketika itu, Balai Pustaka telah menerbitkan Laila Majnun dengan perubahan ejaan dan nama tokoh.

Penerimaan Balai Pustaka berjaya memacu semangat Hamka untuk lebih giat menulis dan mengarang novel. Dalam karya Di Bawah Lindungan Kaabah pada 1938, Hamka memilih untuk mengangkat masalah dalam masyarakat Minangkabau yang mementingkan harta, pangkat dan keturunan.
Setelah itu, Hamka menulis novel Tenggelamnya Kapal van der Wijck, iaitu kisah mengenai percintaan antara Zainuddin dan Hayati yang terhalang oleh adat, sebelum berakhir dengan kematian.
Karya Tenggelamnya Kapal van der Wijck mendapat sambutan cukup luar biasa sehingga diadaptasi dalam bentuk filem pada 2013.
Selain mempunyai kerjaya yang panjang dalam dunia menulis dengan penghasilan sehingga 200 karya, Hamka juga dikenal sebagai aktivis pertubuhan Islam Indonesia, Muhammadiyah. Hamka juga merupakan anggota Parti Masyum, sebelum dibubarkan oleh Presiden Soekarno.
Kehebatan pemikiran Hamka, baik sebagai seorang ulama, sasterawan, mahupun aktivis telah mendapat perakuan daripada banyak pihak dan merentas masa.
Hamka telah mendapat gelaran doktor kehormatan dari Universiti al-Azhar, Mesir dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kerana ketokohan serta sumbangannya.
Nama Hamka semakin menyinar bersama pengaruh yang besar. Tetapi kejayaan itu diiringi dengan satu pakatan yang cuba membunuh keperibadiannya. Maka beliau telah dituduh sebagai penghianat negara.
“Setelah empat hari dalam tahanan, barulah saya diperiksa dengan tuduhan yang amat hebat dan ngeri. Saya dituduh mengadakan perhimpunan gelap di Tangerang pada 11 Oktober 1963.
“Dalam perhimpunan itu, mereka cakap saya hendak membunuh Menteri Agama, H. Saifuddin Zuhri dan mengadakan Coup d’etat (kudeta). Untuk semua itu, saya dikatakan mendapat bantuan daripada Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra,” ujar Hamka.
Itulah adat orang berjuang. Walaupun pada kebanyakan manusia ia merupakan waktu yang kelam, tetapi dalam kegelapan tersebut, beliau telah mencipta karya sangat luar biasa.
Ketika dalam penjara selama dua tahun empat bulan, Hamka berjaya menyiapkan sebuah karya agung iaitu Tafsir Al-Azhar yang cukup terkenal.
“Kalau saya tidak dipenjarakan, belum tentu Tafsir Al-Azhar ini dapat diselesaikan. Di luar penjara, saya terlalu sibuk dengan urusan duniawi.
“Di dalam penjara, Allah SWT memberikan saya waktu yang lapang untuk mendalami al-Quran,” ujarnya.
Setelah melalui fasa perjuangan yang panjang dalam menegakkan agama dicintai, jasadnya kian tidak terdaya menampung saki-baki kekuatan diri untuk hidup.
Akhirnya pada hari Jumaat, 24 Julai 1981 ketika berusia 73 tahun, Hamka menghembuskan nafas terakhirnya di Jakarta.
Ia merupakan satu kehilangan yang besar bagi umat Islam secara keseluruhannya dan masyarakat Muslim Nusantara khususnya.














