Atilya Nur Qairina yang dilaporkan hilang selepas keluar menaiki motosikal ke sebuah pasar raya di Shah Alam untuk membeli roti, awal pagi semalam. FOTO IHSAN PDRM.

Atilya hilang selepas keluar beli roti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Seksyen 9 di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, Atilya Nur Qairina Azrai pada 12.01 tengah malam semalam (17 Nov) telah memaklumkan kepada keluarganya untuk keluar ke sebuah pasar raya berhampiran rumah bersama sepupu dengan menaiki motosikal untuk membeli roti.

“Pengadu telah membenarkan remaja tersebut keluar memandangkan kedai berkenaan terletak berhampiran kediaman. Walau bagaimanapun, kira-kira jam 7 pagi pengadu mendapati remaja tersebut tiada di rumah.

“Hasil pertanyaan terhadap sepupu mangsa, keluarga telah dimaklumkan bahawa selepas ke pasar raya, remaja berkenaan telah keluar semula tanpa memaklumkan destinasi yang dituju,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sarudin berkata mangsa kali terakhir dilihat memakai seluar sukan berwarna gelap dan kemeja- T berwarna hitam selain menggunakan kenderaan jenis Yamaha Y15 berwarna ungu bernombor pendaftaran NEL 4012.

Beliau berkata mana-mana individu yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Insp. Ahmad Mokhsin Abdul Rahman di talian 011-1755 4394 atau mana-mana balai polis berhampiran. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN