Ramanan ketika berucap pada Majlis Sambutan Deepavali di Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya hari ini.

130 murid, anak rumah kebajikan terima sumbangan Kesuma sempena Deepavali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Lebih 130 murid sekolah rendah dan anak-anak rumah kebajikan menerima sumbangan wang tunai sempena sambutan Deepavali sebagai tanda keprihatinan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dalam membantu meringankan beban golongan berkenaan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, penganjuran majlis itu bukan sahaja bertujuan meraikan sambutan perayaan berkenaan, malah memberi peluang kepada golongan memerlukan untuk berkongsi kegembiraan.

“Ini adalah perayaan yang disambut sekali setahun dan kita mahu memastikan semua lapisan masyarakat, termasuk anak-anak rumah kebajikan dan pelajar dapat bersama-sama merasai kemeriahan sambutan ini,” katanya selepas Majlis Sambutan Hari Deepavali peringkat Kementerian Sumber Manusia di sini hari ini.

Penerima sumbangan itu merupakan murid dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJK(T)) Thamboosamy Pillai, Kuala Lumpur serta penghuni rumah kebajikan Karunai Illam dan Anbu Illam.

Beliau berkata, majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan yang mencerminkan kepelbagaian masyarakat di negara ini.

Katanya, penglibatan pengurusan tertinggi Kesuma bersama-sama Perbadanan Pembangunan Masyarakat India Malaysia dalam menjayakan program itu turut memperlihatkan komitmen kementerian meraikan kepelbagaian kaum dan budaya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Pengarah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia, K. Raveendran Nair berkata, Program Geran Keusahawanan Uyarvu Madani turut menerima kira-kira 8,300 permohonan setakat ini.

Beliau berkata, proses saringan sedang dijalankan dan pihaknya memerlukan sedikit masa untuk meneliti semua permohonan yang diterima sebelum melaksanakan pemberian geran fasa pertama.

“Setakat ini, program Uyarvu Madani menerima kira-kira 8,300 permohonan dan kita sedang dalam proses saringan yang memerlukan sedikit masa berikutan jumlah permohonan yang tinggi.

“Kita akan melaksanakan pemberian geran fasa pertama secepat mungkin dan menghubungi semua pemohon yang berjaya, manakala pemohon lain akan dimaklumkan secara berperingkat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN