BATU PAHAT – Siasatan polis mendapati kereta dinaiki dua lelaki yang rentung selepas terlibat nahas di Jalan Jaya Diri, Rengit di sini malam tadi bertembung dengan sebuah kenderaan lain sebelum merempuh tiang elektrik lalu terbakar.
Kejadian pada pukul 8 malam itu menyebabkan Kamal Nur Hafizi Maskat, 22, bersama remaja, Mohammed Erfan, 17, yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) rentung.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushhadat Abdullah Sani berkata, pada masa sama, kereta Proton Wira dinaiki lelaki berusia 37 tahun bersama ibunya berusia 61 tahun datang dari arah Kampung Sungai Dulang Darat ke arah Pekan Rengit.
Katanya, kereta dipandu Kamal Nur Hafiz dipercayai hilang kawalan selepas melalui selekoh sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Proton Wira sebelum merempuh tiang elektrik.
“Akibat kejadian itu, kereta Proton Saga tersebut terbakar dan dua mangsa di dalamnya gagal keluar menyelamatkan diri akibat tersepit di tempat duduk masing-masing.
“Pemandu Proton Wira dan ibunya turut mengalami kecederaan. Mereka dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan diminta menyalurkan kepada pihak polis untuk membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














