KUALA LUMPUR – Penyanyi Datuk Ziana Zain menyifatkan pencapaian Aina Abdul yang berjaya menembusi hati masyarakat menerusi karya muziknya sebagai satu kemenangan, meskipun sekadar menduduki tempat keempat dalam pertandingan Eurovision Song Contest Asia 2026.
Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 58, berkata, kedudukan tersebut bukanlah ukuran utama, sebaliknya Aina sudah membuktikan Malaysia memiliki penyanyi berkualiti yang mampu bersaing di pentas antarabangsa.
“Bagi saya, tidak kisahlah menang atau kalah kerana yang penting kita sudah tunjukkan Malaysia mempunyai penyanyi yang bagus.
“Lagu-lagu Aina, budak kecil pun menyanyikannya, malah sudah melekat dalam halwa telinga masyarakat. Jadi, itu dikira dia sudah menang.
“Pada saya, Aina sudah melakukan yang terbaik dan kita tahu vokalnya sangat kuat. Sebagai rakyat Malaysia, janganlah kita marah-marah. Memanglah hati sedikit terkilan dan saya faham perasaan itu.
“Namun, ini merupakan pembuka jalan untuk memberitahu dunia bahawa Malaysia juga mampu melakukannya dan mempunyai penyanyi hebat. Apa juga ulasan yang diberikan, Malaysia sudah membuktikan kemampuan kita,” katanya kepada Kosmo! Online.
Mengulas lanjut, Ziana yang pernah menyertai pertandingan Voice of Asia di Kazakhstan suatu ketika dahulu berkata, peserta yang mahu bertanding di luar negara perlu memahami cita rasa serta kehendak pasaran antarabangsa terlebih dahulu.
Katanya, perubahan landskap muzik dunia turut mempengaruhi kriteria persembahan yang mendapat perhatian juri dan penonton dalam pertandingan antarabangsa.
“Perkara paling penting apabila membawa diri bertanding di luar negara adalah seperti kata Datuk M. Nasir, kita perlu tahu apa yang mereka mahukan sebelum menyertainya.
“Ketika zaman saya pada era 90-an, apa-apa genre muzik termasuk lagu balada diterima ramai. Namun, apabila zaman berubah, cara dan kehendak mereka juga berbeza.
“Sekarang, apabila kita melihat pertandingan seperti Eurovision, banyak tumpuan diberikan kepada peserta yang bukan sahaja boleh menyanyi, malah menari.
“Kita di Malaysia memang kuat dengan lagu balada, tetapi apabila ke sana, keadaannya sudah berbeza. Apa pun, pihak penganjur sahaja yang tahu apa yang mereka mahukan dan kita kena akur,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert A Night Of Soul.
Terdahulu, Aina menamatkan saingan di tempat keempat pada edisi sulung Eurovision Song Contest Asia 2026 yang berlangsung di One Bangkok Forum, Thailand, dengan mengumpul 152 markah.
Dalam perkembangan lain, Ziana bakal mengadakan Konsert A Night Of Soul pada 12 Disember 2026 di Mines International Exhibition Center.
Selain Ziana, konsert berkenaan turut menampilkan barisan penyanyi popular seperti Datuk Amy Search, Siti Nordiana, Cakra Khan, Khai Bahar dan penyanyi baharu, Nabiha Aimi. – KOSMO! ONLINE














