KUALA LUMPUR – Hutang dan liabiliti terkumpul Kerajaan Persekutuan mencecah RM1,763.3 bilion, mewakili 80.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat akhir Jun lalu.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), jumlah itu turut meliputi komitmen jaminan sebanyak RM248.3 bilion, meningkat sedikit berbanding RM245.8 bilion pada 2025 bagi tujuan pembiayaan projek infrastruktur.
Katanya selain itu, liabiliti lain adalah obligasi kewangan di bawah kerjasama awam swasta dan inisiatif pembiayaan swasta (PFI) berkurang kepada RM136.2 bilion, berbanding RM143.7 bilion, pada tahun lalu.
MOF berkata, kerajaan kekal komited dalam melaksanakan langkah pembaharuan fiskal untuk menyediakan ruang fiskal yang mampan seterusnya memastikan pengurusan hutang yang berhemah berlandaskan Kerangka Ekonomi Madani.
“Di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023, kerajaan mempunyai komitmen jelas untuk memperkukuh disiplin fiskal termasuk mengurangkan defisit fiskal dalam jangka sederhana di bawah tiga peratus daripada KDNK dan memastikan paras hutang tidak melebihi 60 peratus dalam jangka sederhana.
“Objektif fiskal ditetapkan di bawah akta ini mengukuhkan perancangan, ketelusan dan pemantauan fiskal serta menjadi panduan berterusan dalam penyediaan belanjawan tahunan dan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana (MTFF) yang turut mengambil kira cabaran ekonomi semasa,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Kenyataan itu menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) yang mahu tahu jumlah terkini hutang negara dan liabiliti keseluruhan kerajaan.
Beliau turut mahu tahu sejauh mana pelaksanaan FRA 2023 (Akta 850) membantu dalam mengurangkan defisit fiskal negara sejak ia diwujudkan dan unjuran untuk 10 tahun akan datang.
MOF berkata, sejak Akta FRA dikuatkuasakan, usaha konsolidasi fiskal dilaksanakan secara berperingkat iaitu defisit fiskal berkurang daripada 5.5 peratus daripada KDNK pada 2022 kepada 3.7 peratus pada tahun lalu, lebih baik daripada sasaran asal 3.8 peratus.
Katanya, bagi tahun ini, defisit diunjurkan pada 3.6 peratus, berbanding sasaran asal 3.5 peratus dengan mengambil kira kesan krisis di Asia Barat dan keperluan untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi serta melindungi kesejahteraan rakyat.
“Defisit seterusnya diunjurkan berkurang kepada 3.3 peratus pada tahun depan selaras dengan sasaran FRA di bawah tiga peratus dalam jangka sederhana.
“Usaha konsolidasi fiskal akan terus dipergiat melalui pengukuhan kutipan dan pematuhan cukai, peluasan asas hasil, pengurangan ketirisan serta pengoptimuman perbelanjaan awam bagi menjamin kemampanan fiskal jangka panjang,” katanya.
MOF berkata, daripada segi hutang, nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDNK diunjurkan menurun daripada 65.2 peratus pada tahun lalu kepada 64 peratus pada tahun ini dan 63.7 peratus pada tahun depan.
Katanya, selaras sasaran di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), Kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan nisbah hutang kepada KDNK kepada 60 peratus menjelang tahun 2030.
“Pencapaian sasaran ini akan dilaksanakan secara berperingkat mengambil kira keperluan pembiayaan bagi projek pembangunan jangka panjang dan strategik negara, di samping memastikan keupayaan Kerajaan memenuhi komitmen pembangunan serta mengekalkan kemampanan hutang dalam jangka panjang,” katanya














