GERIK – Dua maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Honda Civic dan lori membawa muatan ayam di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli di sini pada pukul 12.52 tengah malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, terdapat lima mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
“Dua lelaki dewasa selamat iaitu pemandu lori dan kelindan. Seorang lelaki berumur 45 tahun serta seorang wanita berumur 36 tahun telah disahkan meninggal dunia.
“Seorang wanita di dalam kereta cedera dan dibawa ke hospital terdekat untuk menerima rawatan menggunakan ambulans,” katanya, di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE














