PONTIAN – Penduduk beberapa buah kampung di sini mendedahkan pihak yang menghantar sisa bahan binaan dari Singapura ke kawasan itu menggunakan modus operandi baharu bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.
Mereka menyifatkan perbuatan itu seolah-olah mencabar undang-undang negara ini selepas lokasi pelupusan sisa tersebut telah diarah menghentikan operasi sejak 18 Ogos lalu.
Seorang penduduk, Abd. Rahim Halim, 59, berkata, kontraktor atau pemandu lori sebelum ini dikesan membawa muatan sisa binaan selepas pukul 9 malam, namun kini beralih sebelum waktu maghrib.
“Pergerakan lori-lori yang masuk pun tidak seperti sebelum ini sehingga berpuluh buah lori tetapi kini hanya empat atau lima buah yang bergerak tidak secara konvoi bagi mengelak dikesan.
“Lori-lori ini dipercayai menggunakan laluan Jambatan Sungai Pulai ke Pontian kerana lebih dekat, berbanding jalan luar (Singapura-Gelang Patah) sebelum memasuki jalan-jalan di Mukim Serkat, Mukim Air Masin, Mukim Sungai Karang dan Mukim Rimba Terjun.
“Disebabkan kedegilan mereka, penduduk meminta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melakukan rondaan dan penguatkuasaan di sepanjang jalan masuk ke Pontian bermula dari Jambatan Sungai Pulai,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Akhbar ini melalui laporan eksklusifnya semalam melaporkan, kegiatan pihak tertentu membuang sisa binaan secara haram masih belum reda apabila ia kembali aktif dengan 10 buah treler dikesan melakukan perbuatan itu di Mukim Rimba Terjun, di sini pada Jumaat lalu.
Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Negeri (SWCorp) Johor, Zainal Fitri Ahmad dipetik berkata, semakan dengan pihak kastam mendapati lapan lori mempunyai rekod kemasukan dengan muatan sisa batu dalam operasi pada 13 November itu.
Seorang penduduk Kampung Simpang Kiri, Abd. Jalil Abd. Manap, 59, berkata, setelah tiga bulan penduduk merasa lega kerana tiada lagi pergerakan lori-lori sisa binaan masuk ke daerah Pontian kini ada pihak yang cuba mencabuli larangan tersebut
“Tindakan tegas perlu diambil bukan sahaja kepada pemilik syarikat lori tetapi juga pemilik tanah dan orang tengah.
“Kami rasa perkara ini berulang kembali, berkemungkinan mereka ingin mengurangkan kos tinggi pembuangan sisa-sisa binaan jika dibuat di Singapura.
“Ditambah pula dengan kesediaan kontraktor dan pemilik tanah sedia bekerjasama lagi walaupun Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) telah menutup tapak-tapak pembuangan tersebut,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mazlan Mohd. Satar, 63, berkata, seperti penduduk lain, dia juga berharap masalah ini dapat diselesaikan dan tidak berulang kembali pada masa akan datang.
“Isu yang bermula pada 2024 lalu ini sepatutnya tidak berpanjangan jika semua pihak mematuhi undang-undang dan patuh arahan dikeluar pihak berkuasa.
“Kalau perlu sita, lori tersebut perlu disita bagi beri pengajaran kepada syarikat-syarikat lori dan pemilik tanah yang menyediakan tapak sebagai tempat pembuangan sisa-sisa perlu dikenakan tindakan tegas,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE














