FINAS enggan pendekatan membantu artis veteran hanya tertumpu kepada pemberian sumbangan bersifat sementara, sebaliknya mahu membina ekosistem pekerjaan.

‘Beri pancing, bukan ikan’ – Cara Finas bantu artis veteran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM dunia seni yang semakin rancak meraikan kemunculan bakat baharu, nasib penggiat veteran tidak wajar dipinggirkan apatah lagi selepas puluhan tahun mereka menjadi antara tonggak yang membina industri kreatif tanah air.

Menyedari hakikat tersebut, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengambil langkah lebih menyeluruh dengan memberi tumpuan kepada usaha mengembalikan artis veteran ke set penggambaran, sekali gus membuka semula peluang pekerjaan yang semakin terhad buat golongan berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Hans Isaac berkata, bantuan kewangan dan sumbangan kebajikan penting, namun perkara lebih utama adalah memastikan anak seni veteran terus mempunyai sumber pendapatan menerusi bidang yang menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.

Menurutnya, Finas enggan pendekatan membantu artis veteran hanya tertumpu kepada pemberian sumbangan bersifat sementara, sebaliknya mahu membina ekosistem pekerjaan yang membolehkan mereka terus menyumbang berdasarkan pengalaman dan kepakaran dimiliki.

“Secara keseluruhannya, perkara paling penting adalah mereka kembali bekerja. Kita boleh membantu secara pendek melalui bantuan semasa, tetapi yang lebih penting adalah memastikan mereka mendapat pekerjaan.

“Kenapa mereka sebelum ini tidak dapat kembali bekerja? Sebab jalan cerita dalam industri kita selalu menjurus kepada Gen Z atau golongan muda,” katanya ketika majlis penyerahan sumbangan selepas program Rentak Budaya 2026 di Padang Merbok, baru-baru ini.

Pada acara tersebut, seramai 20 artis veteran termasuk Abon, Zaiton Sameon, Ebby Saiful, Yank Kassim, Shahriza Mahmud, Rahim Kidol dan Norly Tamam menerima wang tunai.

Inisiatif keprihatinan itu sebagai membalas jasa serta pengorbanan penggiat seni yang lama mencurahkan bakti turut disertai Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang diwakili Presidennya, Zed Zaidi.

Kata Hans, Finas memperkenalkan inisiatif penerbitan yang memberi ruang kepada pemain industri veteran memainkan watak utama dalam sesebuah karya, selain memastikan sebahagian besar tenaga kerja yang terbabit turut terdiri daripada golongan berpengalaman.

Katanya, pendekatan itu memberi peluang kepada penerbit menghasilkan karya dengan jalan cerita lebih pelbagai tanpa perlu terikat kepada satu genre atau formula tertentu.

Malah, Finas tidak menetapkan bentuk cerita yang perlu dihasilkan kerana kebebasan kreatif tetap menjadi keutamaan selain memberi penekanan terhadap penglibatan artis veteran sebagai watak utama dan tenaga kerja produksi.

SENIMAN dan Finas menyerahkan sumbangan kepada 20 penggiat seni veteran bersempena program Rentak Budaya 2026 di Padang Merbok, baru-baru ini.

Bayaran setara

Bagaimanapun, beliau mengakui pelaksanaan program berkenaan perlu mengambil kira kemampuan fizikal penggiat seni berusia lanjut, khususnya mereka yang sudah melepasi usia 70 tahun.

“Finas kini meneliti penambahbaikan agar golongan lebih muda dalam kategori veteran dapat diberi peluang melaksanakan tugasan yang memerlukan keupayaan fizikal lebih tinggi, manakala penggiat senior boleh terus menyumbang menerusi lakonan, pengarahan dan bidang kreatif lain,” ujarnya.

Mengenai bayaran yang diterima artis veteran, akuinya perubahan landskap komersial industri televisyen turut mempengaruhi peluang dan kadar upah seseorang pelakon.

Kata Hans lagi, stesen televisyen lazimnya memberi perhatian kepada karya yang mencatatkan rating tinggi, sekali gus mendorong penerbit menghasilkan kandungan dengan formula dan barisan pelakon yang hampir sama.

“Ekosistem sekarang untuk kandungan komersial banyak datang daripada anak-anak muda dan Gen Z. Apabila sesuatu cerita mendapat rating tinggi, stesen televisyen akan terus menyiarkannya.

“Jadi, apa yang kita perlu lakukan adalah menghasilkan jalan cerita untuk artis veteran dan membawanya kepada stesen televisyen.

“Kalau rating meningkat, iklan akan masuk. Apabila iklan masuk, stesen memperoleh pendapatan. Apabila mereka nampak ada manfaat, mereka akan datang semula dan meminta lebih banyak cerita seperti itu,” ulasnya.

Tambah Hans, tanggungjawab Finas adalah membuka laluan permulaan dengan menyediakan peluang kepada penerbit menghasilkan karya yang memberi tumpuan kepada artis veteran, sebelum pasaran sendiri menentukan kesinambungan permintaan terhadap kandungan berkenaan.

Beliau menyifatkan pendekatan itu sebagai usaha memberikan pancing, bukan sekadar menyerahkan ikan kepada golongan yang memerlukan bantuan.

“Kita tidak mahu sekadar memberikan ikan untuk dimakan hari ini, tetapi esok mereka perlu bantuan ikan lagi. Kita mahu berikan pancing supaya mereka boleh terus menangkap ikan dan makan setiap hari.

“Saya fikir dalam jangka panjang, apa yang kita laksanakan untuk industri ini perlu mempunyai kesan berterusan. Memang bukan mudah, tetapi kalau kita tidak mulakan, siapa lagi?” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN