RONALDINHO kembali membuat penampilan di pentas kompetitif apabila beraksi bersama Ravenna awal pagi semalam. - AFP

Ronaldinho keluar persaraan turun aksi kompetitif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAVENNA – Legenda bola sepak Brazil, Ronaldinho kembali beraksi dalam perlawanan kompetitif selepas 11 tahun bersara ketika membuat penampilan selama 45 minit untuk kelab Itali, Ravenna awal pagi semalam.

Pemain berusia 46 tahun itu mengumumkan pada Jun lalu bahawa beliau telah menandatangani kontrak bersama kelab Serie C itu selepas penampilan terakhirnya bersama Fluminense pada 2015.

Awal pagi semalam, dia disenaraikan dalam kesebelasan utama ketika Ravenna berdepan seteru setempat, Forlì dengan menyarung jersi bernombor 10 dan menerima sambutan penuh meriah ketika memasuki stadium.

Ronaldinho sebelum ini sudah mengumpul 299 gol dalam kariernya, namun dia gagal melunaskan impan untuk memburu jaringan ke-300 pada aksi tersebut biarpun Ravenna berjaya mencatat kemenangan 2-0.

Ronaldinho yang turut menjadi pemegang saham kelab berkenaan, membayangkan kemungkinan untuk membuat penampilan seterusnya bersama Ravenna.

“Segalanya berlalu terlalu pantas, begitulah bola sepak bagi saya selama ini. Adakah ini penampilan terakhir saya? Saya tidak tahu. Jika presiden terus menghubungi saya, saya akan kembali. Ia sentiasa menjadi satu kegembiraan.

“Saya sudah memberitahu presiden, jika beliau memerlukan saya, saya akan berada di sini. Seronok dapat berada di sini, bermain bola sepak dan merasai kembali suasana persiapan di bilik persalinan. Bola sepak sentiasa menjadi perkara paling indah dalam hidup saya,” katanya.

Ini merupakan pengalaman kedua Ronaldinho beraksi di Itali apabila sebelum ini, beliau menghabiskan tiga musim bersama AC Milan dari 2008 hingga 2011 dan berjaya memenangi satu gelaran Serie A.

Sepanjang kariernya yang penuh kejayaan, Ronaldinho turut pernah menyarung jersi Paris Saint-Germain dan Barcelona. Beliau juga merupakan sebahagian daripada skuad Brazil yang menjuarai Piala Dunia 2002.

Beliau turut pernah beraksi bersama beberapa kelab Brazil seperti Grêmio, Flamengo dan Atlético Mineiro serta kelab Mexico, Querétaro. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN