HARIMAU Malaya perlu segera membentuk bahagian tengah yang lebih kreatif dan bertenaga untuk berdepan Yemen di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre pada aksi persahabatan kedua hari ini.
Kegagalan untuk menguasai posisi itu dengan lebih baik membawa padah ketika Harimau Malaya tewas 0-2 kepada China menyebabkan para pemain di posisi berkenaan dituntut lebih kreatif untuk menjadi penghubung antara benteng pertahanan dan jentera serangan.
Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tidak menafikan kekurangan di bahagian tengah sedikit sebanyak menjejaskan corak permainan pasukan, terutama ketika berdepan tekanan serta kelebihan fizikal dan taktikal yang dimiliki lawan.
“Kalau kita lihat perlawanan menentang China, memang kita tahu kelemahan dan kekuatan kita. Pemain sudah menunjukkan satu prestasi yang terbaik dan kita lihat banyak positif daripada negatif.
” Namun, sudah pasti kita kena bersedia menentang perlawanan seterusnya menentang Yemen nanti. Kita merasakan mungkin kekurangan di bahagian tengah sedikit sebanyak menjejaskan pengawalan bola ketika menentang China,” katanya.
Mengulas persiapan menghadapi Yemen, Cheng Hoe mengakui kekalahan kepada China sedikit sebanyak memberi kesan terhadap keyakinan pemain, namun percaya anak buahnya dapat mempelajari sesuatu untuk cuba tampil lebih baik seperti dipamerkan pada babak kedua menentang China.
“Saya rasa pemain sudah dapat pengalaman dan juga momentum terutamanya semasa bermain baik di separuh masa kedua. Kita akan teruskan momentum kita dan ingin dapatkan kemenangan ke atas Yemen kerana ia akan memberikan keyakinan kepada kita untuk cabaran akan datang,” katanya.














