BANDAR BAHARU – Lima kampung di tiga mukim di daerah ini mula dilanda banjir selepas hujan berterusan lebih dua jam sejak petang tadi.
Kejadian bermula kira-kira pukul 5.25 petang itu melibatkan Kampung Padang dan Kampung Belakang Pekan di Mukim Sungai Kechil Ilir, Kampung Majidee serta Kampung Sungai Punti di Mukim Serdang dan Kampung Sungai Tepus di Mukim Bagan Samak.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata,berdasarkan laporan awal Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Bandar Baharu setakat pukul 7.30 malam, sebanyak dua buah rumah di Mukim Serdang dilaporkan terjejas, manakala jumlah rumah di dua lagi mukim masih dalam proses bancian.
Katanya, keadaan bertambah membimbangkan apabila paras air di tiga sungai utama iaitu Sungai Buaya, Sungai Punti dan Sungai Parit Nibong dilaporkan berada pada tahap bahaya.
“Hujan lebat yang bermula kira-kira pukul 4 petang menyebabkan paras air sungai semakin meningkat sebelum beberapa kawasan kampung berhampiran dinaiki air,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya,operasi pemantauan turut melibatkan pemeriksaan paras air sungai utama selain membantu penduduk mengalihkan barangan ke tempat lebih tinggi bagi mengelakkan kerosakan sekiranya paras air terus meningkat. – KOSMO! ONLINE
















