LONDON -Sepasang pasu porselin China yang jarang ditemui dan dipercayai berasal dari abad ke-17 dianggarkan mampu mencecah harga sehingga £50,000 (RM270,000) apabila ia dilelong di Britain minggu hadapan, lapor stesen penyiaran BBC.
Kedua-dua pasu jenis bermotifkan ‘Wanita’ itu dipercayai dihasilkan pada zaman Kangxi di bawah era pemerintahan dinasti Qing, sekitar tahun 1662 hingga 1722.
Firma lelongan Mallam’s dalam satu kenyataan memaklumkan, artifak berharga itu sebelum ini disimpan di sebuah kediaman desa di Oxfordshire dan disifatkan sebagai ‘satu penemuan semula porselin China yang luar biasa’.
Menurut firma juru lelong yang berpangkalan di Cheltenham itu, pasangan pasu yang disifatkan sebagai tersebut dianggarkan boleh dijual pada harga antara £30,000 (RM160,000) hingga £50,000 (RM270,000) apabila sesi bidaan dibuka pada hari Rabu ini.
Pakar seni Asia di Mallams, Robin Fisher berkata, lelongan berkenaan menawarkan ‘peluang keemasan buat para pengumpul untuk memiliki sebahagian daripada sejarah koleksi barangan antik yang didokumentasikan secara sah’.
Artifak tersebut direkodkan berasal dari era pemerintahan Maharaja Kangxi, yang merupakan maharaja paling lama memerintah dalam sejarah China, iaitu dari tahun 1661 hingga 1722.
Hasil penyelidikan yang diketuai oleh Fisher turut mendedahkan bahawa pasu-pasu berkenaan pernah menjadi sebahagian daripada ‘salah satu koleksi peribadi porselin China yang paling dihargai dari segi sejarah di Britain’. – AGENSI
















