Diana (kiri) melayan pelanggan yang terdiri daripada komuniti tentera di premisnya di Pangkalan Udara Sendayan.

K2T buka jalan keluarga tentera jana pendapatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERMULA dengan mengikuti kursus pengendalian makanan, Nurul Diana Yusuf, 40, kini menyimpan impian lebih besar untuk mengembangkan perniagaan sendiri termasuk membuka kedai makan di premis Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (Pernama).

Bagi ibu kepada tiga anak dari Temerloh, Pahang itu, peluang mengikuti Program Kemahiran Keluarga Tentera (K2T) bukan sekadar memberinya sijil, malah menyuntik keyakinan untuk meneroka dunia keusahawanan yang sebelum ini tidak dirancangnya secara serius.

Menerusi kursus anjuran Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) itu, Diana memperoleh Sijil Pengendalian Makanan yang menjadi antara bekalan penting untuk mengembangkan perniagaannya, Diana Selera Pantai Timur.

“Program anjuran Yayasan LTAT ini memberi saya semangat dan keyakinan untuk berani melangkah ke hadapan.

“Selepas mengikuti kursus dan memperoleh Sijil Pengendalian Makanan, saya kini lebih yakin untuk mencuba membuka kedai makan di premis Pernama.

“Bagi saya, kursus ini bukan sekadar memberi kemahiran, tetapi membuka peluang untuk saya menjana pendapatan sendiri dan keluarga,” katanya yang juga ahli Badan

Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) Udara Pangkalan Udara Sendayan di Negeri Sembilan menerusi satu kenyataan.

Baginya, kemahiran yang dipelajari perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya, bukan sahaja untuk memperbaiki kehidupan keluarga, malah sebagai peluang membina sesuatu yang memberikan manfaat jangka panjang.

“Harapan saya agar program K2T dapat diteruskan dan diperluas supaya lebih ramai ahli Bakat di seluruh negara berpeluang mempelajari kemahiran yang boleh dijadikan sumber pendapatan.

“Secara peribadi, saya berharap Diana Selera Pantai Timur dapat terus berkembang dan menjadi sumber pendapatan yang berterusan untuk keluarga, selain menawarkan pilihan makanan kepada komuniti keluarga tentera.

“Kita mungkin bermula dengan mempelajari satu kemahiran, tetapi dengan usaha dan keyakinan, kemahiran itu boleh menjadi sebuah perniagaan,” katanya.

Pengalaman Diana turut dikongsi Zainun Dol, juga ahli Bakat Udara di Pangkalan Udara Sendayan yang melihat K2T sebagai ruang untuk mengenal pasti bakat serta mengembangkan potensi diri.

Zainun mula mengetahui mengenai program itu menerusi hebahan aktiviti Bakat Udara di Pangkalan Udara Sendayan sebelum tertarik sertai kursus ditawarkan. Antara kursus yang disertainya ialah Seni Kraf Resin atau Resin Art yang membuka peluang untuknya menghasilkan produk kreatif berpotensi dipasarkan sebagai hadiah dan cenderamata.

Zainun (tengah) bersama ahli Bakat Pangkalan Udara Sendayan mempelajari kemahiran Resin Art.

“Apabila mengetahui Yayasan LTAT bekerjasama dengan Kolej Komuniti untuk menyediakan pelbagai kursus kemahiran, saya tertarik untuk menyertainya kerana saya memang suka belajar perkara baharu,” katanya.

Pada peringkat awal, Zainun juga berdepan keraguan terhadap kemampuan diri untuk menghasilkan produk dengan baik.

Bagaimanapun, bimbingan tenaga pengajar Kolej Komuniti dan sokongan rakan-rakan membantu memudahkan proses pembelajaran, sekali gus meningkat keyakinan mencuba perkara baharu.

“Walaupun saya masih dalam proses mengasah kemahiran, peluang memperoleh pendapatan sampingan sangat memberi motivasi kepada saya. Satu kepuasan apabila sesuatu yang bermula sebagai minat boleh berkembang menjadi peluang membantu ekonomi keluarga,” katanya.

Kisah Diana dan Zainun memperlihatkan bagaimana latihan kemahiran mampu membuka ruang baharu kepada keluarga anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), bukan sahaja untuk menambah pengetahuan, malah membina keyakinan dan meneroka peluang ekonomi.

Menyedari keperluan itu, Yayasan LTAT terus memperkasa ahli Bakat dan anak-anak ATM menerusi program K2T. Inisiatif itu selaras usaha di bawah kepimpinan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang amat mementingkan kebajikan anggota serta keluarga mereka.

Justeru, program K2T mandat yang diberi oleh Kementerian Pertahanan kepada Yayasan LTAT sebagai salah satu inisiatif demi kesejahteraan keluarga dan anggota ATM yang sentiasa menjadi keutamaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan LTAT, Datuk Dr. Nizar Sudin berkata, program itu menyediakan latihan praktikal dalam pelbagai bidang termasuk jahitan, asas solekan, pengendalian makanan serta kemahiran digital seperti reka bentuk grafik dan kecerdasan buatan (AI).

Menurutnya, kemahiran berkenaan memberi peluang kepada peserta membina keyakinan, meneroka keusahawanan dan mencari sumber pendapatan tambahan yang bersesuaian dengan keperluan serta peluang ekonomi semasa.

Sepanjang 2026, sebanyak 85 kursus K2T dilaksanakan dan dijadualkan dengan penyertaan keseluruhan 2,133 peserta. Program itu merekodkan 111 peserta menerusi lima kursus pada suku pertama, diikuti 188 orang suku kedua. Penyertaan suku ketiga mencatatkan 1,014 orang, manakala 820 peserta dijangka mengikuti kursus pada suku keempat.

“Peningkatan penyertaan itu mencerminkan usaha berterusan Yayasan LTAT memperluas akses kepada latihan kemahiran untuk keluarga ATM di pelbagai lokasi penempatan,” katanya.

Tenaga pengajar Kolej Komuniti Bandar Darulaman, Kedah, Chef Mohammad Norafiq Idris pula berkata, kemahiran ditawarkan bukan saja berguna dalam kehidupan seharian, malah berpotensi menjadi sumber pendapatan keluarga.

“Bagi saya, K2T sangat bermanfaat kerana memberi kemahiran praktikal kepada keluarga tentera, khususnya dalam pengendalian dan penyediaan makanan.

“Ilmu ini bukan saja berguna dalam kehidupan seharian, malah boleh dimanfaat untuk menjana pendapatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN