PETALING JAYA – Setiap pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga pastinya mengimpikan majlis perkahwinan yang meriah, lengkap dengan hidangan lazat dan mencukupi, pelamin indah serta layanan terbaik buat tetamu.
Bagi merealisasikan impian itu, pasangan lazimnya akan mencari pakej perkahwinan bersesuaian daripada syarikat pengurusan majlis yang berpengalaman dan mempunyai reputasi baik.
Tidak semua pasangan mampu membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk menganjurkan majlis perkahwinan, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi mencabar ketika ini.
Kos penganjuran majlis juga dengan mudah boleh mencapai lebih RM30,000, malah sehingga ratusan ribu ringgit bergantung pada skala dan konsep yang dipilih.
Menyedari cabaran itu, Sazlees Bridal Gallery yang beroperasi di Perak tampil membantu bakal pengantin merealisasikan majlis impian mengikut kemampuan kewangan masing-masing.
Pemiliknya, Azie Mohamad Zaini yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam industri perkahwinan berkata, setiap pasangan berhak menikmati hari bahagia tanpa perlu terbeban dengan perbelanjaan yang terlalu tinggi.

Menurutnya, perkhidmatan yang ditawarkan bukan hanya tertumpu kepada pelanggan berkemampuan, sebaliknya turut mengambil kira keperluan pasangan daripada golongan B40 dan M40, termasuk mereka yang baharu memulakan kerjaya.
“Semua boleh dibincangkan jika kedua-dua pihak bersedia untuk berdiskusi dan menyesuaikan keperluan pengantin dengan perkhidmatan yang boleh kami tawarkan.
“Saya selesa apabila pelanggan berterus terang mengenai bajet yang mereka ada serta konsep majlis yang dirancang. Jika jumlah itu bersesuaian, saya akan cuba membantu merealisasikan impian mereka.
“Kedua-dua pihak perlu berpuas hati dengan persetujuan yang dicapai. Walaupun ada yang pada mulanya agak sensitif untuk bercakap soal bajet, perkara ini sebenarnya penting supaya kami dapat menyusun pakej mengikut kemampuan mereka tanpa mengabaikan elemen utama majlis,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Azie yang kini bertapak kukuh di kawasan utara Semenanjung berkata, perniagaannya masih mampu bertahan meskipun berdepan persaingan sengit daripada syarikat pengurusan majlis lain.
Jelasnya, pengalaman lebih tiga dekad dalam industri menjadi antara kelebihan yang membantu Sazlees Bridal Gallery terus mendapat kepercayaan pelanggan.
Promosi dari mulut ke mulut oleh pelanggan sedia ada turut membantu memperkenalkan perkhidmatan syarikat kepada bakal pelanggan baharu, membolehkan pihaknya terus menerima tempahan setiap bulan khususnya ketika musim cuti persekolahan, cuti umum dan cuti hujung minggu yang panjang.

Antara pakej popular yang ditawarkan ialah pakej bernilai RM25,000 merangkumi perkhidmatan asas seperti katering, pelamin, sepasang busana pengantin dan solekan.
Bagi memastikan kualiti hidangan terjamin, pihaknya turut bekerjasama dengan syarikat katering berpengalaman.
Mengulas trend perkahwinan semasa, Azie berkata, konsep majlis di taman atau kawasan terbuka semakin mendapat perhatian pasangan yang mahu meraikan hari bahagia dalam suasana semula jadi.
“Trend ini mungkin dipengaruhi konsep perkahwinan Barat dan semakin popular kerana persekitaran taman yang cantik memberikan peluang untuk menghasilkan gambar perkahwinan yang lebih kreatif,” katanya.
Selain itu, elemen kelestarian turut diberi perhatian dalam perancangan majlis bagi membantu mengurangkan kos, selain disesuaikan dengan kehendak pelanggan.
“Prinsip saya adalah menawarkan perkhidmatan terbaik dan memastikan tiada kesilapan sepanjang majlis berlangsung.
“Ia penting kerana ini adalah ‘periuk nasi’ saya untuk kelangsungan tahun-tahun mendatang, selain memelihara imej yang saya bina sejak lebih 30 tahun dalam bidang ini,” ujarnya.














