AYER KEROH – Gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dijangka menguasai 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2026 berdasarkan kajian lapangan Ilham Centre.
Unjuran firma penyelidikan bebas itu sekali gus memberi gambaran kelebihan besar kepada gabungan berkenaan dalam persaingan mengekalkan penguasaan politik di negeri tersebut.
Berdasarkan kajian yang dijalankan dari 1 hingga 12 November lalu, Pakatan Harapan (PH) pula dijangka hanya berada dalam kedudukan selesa di dua kerusi tradisinya iaitu Kota Laksamana dan Bandar Hilir.
Dua lagi kerusi yang sebelum ini disandang PH, iaitu Ayer Keroh dan Kesidang, bagaimanapun dikategorikan sebagai kawasan persaingan sengit.
Ilham Centre dalam kenyataan berkata, kelebihan BN-PN didorong tiga faktor utama iaitu konsolidasi undi Melayu, moral jentera parti yang tinggi serta penerimaan positif rakyat terhadap pentadbiran kerajaan negeri.
Malah, kajian itu mendapati perpindahan undi antara penyokong kedua-dua parti berlaku pada kadar tinggi apabila 91 peratus pengundi PN beralih menyokong BN, manakala 78 peratus pengundi BN pula memberikan sokongan kepada PN.
Perkembangan itu menjadikan 23 kerusi DUN yang mempunyai sekurang-kurangnya 50 peratus pengundi Melayu sebagai laluan sukar buat PH untuk mencabar dominasi gabungan berkenaan.
Selain faktor sokongan pengundi, kelebihan penyandang turut memberi kelebihan kepada BN-PN menerusi penerimaan terhadap program kerajaan negeri termasuk Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat.
Kajian sama turut merekodkan tahap penerimaan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebanyak 86 peratus, manakala kerajaan negeri memperoleh 85 peratus.
Bagaimanapun, PH masih mempunyai kekuatan tersendiri apabila berjaya mengekalkan sokongan teras khususnya dalam kalangan pengundi bukan Melayu dan penduduk bandar.
Namun, gabungan itu berdepan cabaran untuk memperluas pengaruh ke kawasan luar bandar dan segmen pengundi baharu berikutan ketiadaan naratif induk yang mampu mencetuskan gelombang perubahan.
Ilham Centre turut mendapati Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) antara Kerajaan Madani dengan Parti Bersatu gagal diterjemahkan kepada penyatuan sokongan di peringkat akar umbi.
Kerjasama yang berlangsung secara tertutup itu dikatakan mengelirukan pengundi atas pagar sehingga menyukarkan pembentukan sokongan lebih luas.
Dalam perkembangan lain, pengundi muda turut dikenal pasti sebagai kelompok yang boleh mempengaruhi keputusan PRN kali ini apabila 21 peratus pengundi berusia bawah 30 tahun masih belum membuat keputusan muktamad ketika kajian dijalankan.
Golongan itu juga didapati cenderung menentukan pilihan pada saat-saat akhir.
Kajian lapangan berkenaan melibatkan kesemua 28 DUN di Melaka menerusi soal selidik bersemuka terhadap 805 responden, lima perbincangan kumpulan berfokus (FGD) melibatkan 40 informan serta temu bual mendalam (IDI) dengan 22 informan.-KOSMO! ONLINE
















