KANGAR – Empat lelaki warga Thailand yang terlibat dalam kes penyeludupan migran dan penemuan kubur besar di Wang Kelian pada 2015 dipindahkan ke negara asal semalam selepas selesai menjalani hukuman penjara di Malaysia.
Keempat-empat lelaki terbabit ialah Arun Kaeofainok, 31; Jehpa Lapi-E, 59; Somphon A-Dam, 52, dan Amree Nesalaeh, 61, yang diekstradisi dari Thailand ke Malaysia pada Jun 2023 bagi menghadapi pertuduhan berkaitan penyeludupan migran selesai dipindahkan kira-kira pukul 4 petang.
Pengarah Imigresen Perlis, Mohammad A’sim Md Ali berkata, mereka merupakan antara enam warga Thailand yang dipindahkan ke negara asal melalui Pos Imigresen Wang Kelian semalam selepas selesai menjalani hukuman atas kesalahan masing-masing.
“Empat lelaki berkenaan merupakan pesalah dalam kes berkaitan kem penyeludupan migran dan penemuan kubur besar di Wang Kelian yang menggemparkan negara pada 2015.
“Keempat-empat individu terbabit diekstradisi dari Thailand ke Malaysia pada Jun 2023 bagi menghadapi proses perundangan,” katanya di sini hari ini.
Pada 7 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Kangar menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap keempat-empat lelaki itu selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan melindungi migran yang diseludup mengikut Seksyen 26H Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Hukuman tersebut berkuat kuasa dari tarikh mereka ditahan pada 22 Jun 2023, manakala kes berkenaan mempunyai kaitan dengan penemuan 139 kubur dan 28 kem sementara di Bukit Wang Burma, Wang Kelian pada Mei 2015.
Menurut Mohammad A’sim, dua lagi lelaki Thailand yang dihantar pulang turut selesai menjalani hukuman atas kesalahan imigresen berasingan mengikut Seksyen 8(3)(a) dan Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 serta tidak terlibat dalam kes ATIPSOM tersebut.
“Kesemua enam individu diserahkan kepada pihak berkuasa Thailand di Pos Imigresen Wang Kelian bagi tindakan lanjut mengikut proses perundangan negara berkenaan.
“Pemindahan dilaksanakan menerusi penyelarasan antara pihak berkuasa kedua-dua negara bagi memastikan urusan penyerahan berjalan dengan teratur,” katanya. – KOSMO! ONLINE
















