GOMBAK – Seorang lelaki warga asing yang menyerang anggota polis menggunakan parang di Desa Aman Puri, di sini, petang tadi, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital selepas terkena tembakan.
Suspek sebelum itu bertindak agresif menyerang anggota polis buat kali kedua menggunakan senjata tajam tersebut ketika usaha menangkapnya dilakukan berhampiran sebuah taman permainan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, lelaki itu berjaya dikesan di kawasan tersebut antara pukul 7.30 dan 8 malam selepas melarikan diri dari kediamannya.
Menurutnya, suspek dikesan tidak jauh dari kediaman yang menjadi lokasi serangan pertama sehingga menyebabkan seorang anggota polis parah dengan pergelangan tangan kanannya terputus.
“Dalam usaha menangkap suspek, lelaki itu sekali lagi menyerang anggota polis dengan menggunakan sebilah parang.
“Bagi mempertahankan diri dan membuat tangkapan, anggota polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek,” katanya pada sidang akhbar di pekarangan Hospital Selayang, di sini malam ini.
Shazeli berkata, suspek yang cedera dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital tersebut.
Menurutnya, semakan awal mendapati suspek dipercayai warga asing, namun identitinya masih belum dapat dipastikan.
“Setakat ini, hanya seorang suspek yang terlibat dalam kejadian ini. Setakat ini kita masih menjalankan siasatan termasuk pengenalan diri suspek dan perkara yang berkaitan.
“Siasatan mendapati suspek memang tinggal di kediaman tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut, Shazeli berkata, pihaknya masih belum dapat menentukan jumlah tembakan yang mengenai suspek serta bahagian badan yang mengalami kecederaan.
Katanya, pengesahan lanjut perlu dibuat menerusi proses bedah siasat memandangkan keadaan di lokasi kejadian agak gelap.
“Kita perlu tunggu keputusan bedah siasat untuk mengetahui berapa das tembakan dan kecederaan yang dialami suspek. Keadaan ketika itu agak gelap dan pencahayaan tidak begitu terang,” katanya.– KOSMO! ONLINE
















