HULU SELANGOR – Sebanyak 14 kawasan lokasi rekreasi di daerah ini dikenal pasti berisiko mengalami kejadian kepala air dengan Sungai Pertak, Sungai Siling dan Sungai Batang Kali menjadi tiga lokasi hot spot utama.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, setakat tahun ini, Sungai Batang Kali merekodkan empat insiden kepala air diikuti Sungai Siling (tiga) dan Sungai Pertak (dua).
“Daripada sembilan kejadian kepala air di tiga lokasi itu, hanya insiden (Isnin lalu) di Sungai Pertak melibatkan mangsa, manakala kejadian lain tidak melibatkan mangsa,” katanya ketika ditemui Bernama di Pos Kawalan Hadapan JBPM di Jambatan Pertak, di sini hari ini.
Ashrul Riezal berkata, 11 lagi lokasi yang turut dikenal pasti berisiko ialah Lata Medang di Kuala Kubu Bharu, Sungai Inki (Ingki), Kalumpang dan River View Sungai Bernam, Hulu Selangor.
Lokasi lain ialah Sungai Sendat dan Sungai Tua di Ulu Yam, Sungai Kedondong (Batang Kali), Sungai Cilin (Kuala Kubu Bharu) serta Sungai Pinang (Batang Kali) selain Air Terjun Serendah (Serendah), Air Terjun Semangkuk dan Sungai Liam (Hulu Selangor).
Jelasnya, susulan Monsun Timur Laut, JBPM menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan sementara aktiviti rekreasi air seperti mandi-manda, berenang, berkelah dan berkhemah di kawasan sungai, jeram, air terjun serta tali air.
“Nasihat ini bagi meningkatkan kesedaran masyarakat setempat dan pengunjung mengenai bahaya kepala air, khususnya ketika keadaan cuaca tidak menentu sepanjang musim tersebut,” katanya.
Terdahulu, lapan individu masing-masing seorang warga tempatan, Yaman, Sri Lanka, Nepal dan empat warga India hilang selepas dihanyutkan arus deras ekoran kejadian kepala air di Sungai Pertak pada pukul 5.30 petang, Isnin lalu.
Jasad lima mangsa ditemukan terdiri daripada warga tempatan, V. Vijayan, 36, warga Nepal dikenali sebagai Kapali, 49, dan B. Kunjanmalayil, 35, warga India, manakala dua lagi mangsa belum dikenal pasti ialah lelaki warga India dan Sri Lanka.
Usaha pencarian tiga lagi mangsa, iaitu dua warga India dan seorang warga Yaman masih diteruskan.– Bernama
















