MANCHESTER – Manchester United berdepan bencana kewangan yang memberikan impak maksimum sekiranya mereka tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris pada penghujung musim ini.
The Red Devils kini berada di tangga ke-18 liga dengan hanya mengutip lapan mata daripada 10 perlawanan pembukaan apabila hanya mencatatkan satu kemenangan liga musim ini ketika menentang Ipswich Town pada penghujung Ogos.
United berdepan perkembangan yang membimbangkan apabila pengurus, Michael Carrick, bakal dipecat dan sekiranya pengendali baharu tiba, ia belum menjamin kemampuan United memperbaiki prestasi dan berisiko tersingkir ke divisyen dua.
Kegagalan untuk kekal di EPL menyaksikan United berpotensi kehilangan penaja utama mereka, Adidas selaku pengeluar jersi rasmi kelab yang mempunyai pilihan untuk menamatkan perjanjian penajaan dengan memberikan notis hanya setahun lebih awal.
Sebagai alternatif, syarikat pakaian sukan itu juga berhak mengurangkan bayaran penajaan sebanyak 50 peratus bagi setiap musim United tidak beraksi dalam divisyen tertinggi bola sepak England.
Ini bermakna, jika Manchester United tersingkir pada Mei ini, Adidas berkemungkinan hanya membayar £45 juta (RM) bagi musim 2027-28 berbanding jumlah penuh sebanyak £90 juta.
United sebelum ini menandatangani lanjutan kontrak selama 10 tahun bernilai £900 juta bersama Adidas pada musim panas 2023.
Adidas juga boleh mengurangkan bayaran sebanyak £10 juta bagi setiap musim sekiranya gergasi Liga Perdana itu gagal melayakkan diri ke Liga Juara-Juara.
Pada Isnin lalu, timbul laporan bahawa Carrick semakin hampir dipecat oleh Manchester United susulan permulaan musim yang amat mengecewakan.
Pihak pengurusan kelab dijangka membuat keputusan untuk melakukan perubahan sebelum United bertemu Liverpool selepas tamat rehat antarabangsa.
Bekas pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, kini dilaporkan berada di kedudukan paling hadapan untuk mengisi jawatan ketua jurulatih tersebut. – AGENSI
















