PETALING JAYA – Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menjelaskan bahawa pelaksanaan tahanan rumah bukan bermakna seseorang banduan bebas menerima kunjungan ahli keluarga pada bila-bila masa.
Menurutnya, kediaman yang digunakan bagi tujuan tahanan rumah turut diwartakan sebagai penjara, selain tertakluk kepada peraturan termasuk waktu lawatan yang ditetapkan.
Penjelasan itu dibuat menerusi ruangan komen di Threads selepas seorang pengguna media sosial mengajukan pertanyaan mengenai bentuk sekatan yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya dibenarkan menjalani hukuman secara tahanan rumah.
Pengguna dikenali sebagai @wakdoyik.co bertanyakan sama ada ahli keluarga termasuk cucu dibenarkan melawat serta kemungkinan Najib mendapatkan makanan melalui perkhidmatan penghantaran.
“Kak Long, kalau tahanan rumah ini bagaimana? Keluarga atau cucu boleh melawat, tetapi Bossku tidak boleh keluar rumah, ya? Kalau pesan makanan melalui p-hailing boleh?” soalnya.
Menjawab pertanyaan tersebut, Nurulhidayah menjelaskan bahawa konsep tahanan rumah tetap mempunyai sekatan seperti yang dikenakan terhadap banduan di penjara.
“Tidak boleh. Rumah itu pun diwartakan sebagai penjara. Memang konsep penjara, anak dan isteri tiada di dalam rumah itu.
“Anak dan isteri dia bukan tinggal sekali. Datin Seri Rosmah tinggal di Pavilion,” katanya.
Menurut Nurulhidayah, sebarang lawatan ahli keluarga juga tertakluk kepada waktu tertentu sebagaimana peraturan yang dilaksanakan di penjara.
“Kalau hendak melawat pun ada masa lawatan yang ditetapkan seperti orang di dalam penjara.
“Terima kasih kerana bertanya sebab hendak tahu. Letih membaca fitnah daripada orang yang paling tahu semua itu. Oh ya, makanan dan minuman semuanya penjara yang tentukan,” jelasnya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Threads @syapiksaad turut bertanyakan sama ada sekatan berkenaan dikenakan kerana seseorang yang menjalani tahanan rumah masih belum dibebaskan sepenuhnya.
Menjawab pertanyaan tersebut, Nurulhidayah menegaskan bahawa individu yang menjalani hukuman berkenaan masih berstatus banduan.
“Ya. Dia masuk status banduan, untuk yang tidak faham,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memerintahkan Najib menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn. Bhd. secara tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur, berkuat kuasa serta-merta.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas membatalkan perintah terdahulu yang dikeluarkan pada 6 November lalu, susulan penelitian terhadap Perintah Pengampunan Bersyarat dan bukti pembayaran denda RM50 juta.
Keputusan tersebut membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun yang telah dikurangkan itu secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Bekas Perdana Menteri keenam itu dilaporkan tiba di kediamannya di Langgak Duta kira-kira pukul 9.30 malam tadi selepas dibawa keluar dari Penjara Kajang. – KOSMO! ONLINE
















