Para pemenang Remaja Chef Challenge 2026 merakam gambar kenangan bersama pihak penganjur dan barisan juri pertandingan yang mencungkil bakat remaja dalam kulinari.

SMK Padang Negara juara, naib juara Remaja Chef Challenge

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Negara mencipta kejutan apabila merangkul gelaran juara dan naib juara pada pertandingan akhir Remaja Chef Challenge 2026 di Terengganu Trade Centre (TTC) baru-baru ini.

Kejayaan itu diraih menerusi gandingan Nur Amalina Qasrina Mohd. Sharil dan Nurisya Qumaira Mohd. Rahimie yang muncul juara, manakala Muhammad Kamarulzaqwan Abdullah dan Muhammad Kahruddin Iqhwan Mohd. Kahhayat menduduki tempat kedua.

Tempat ketiga pula milik gandingan Ayuni Basheerah Azmi dan Nur Nabila Zahra Mohd. Riza dari SMK Sultan Mansor.

Pengarah Urusan Rempah Cap Bunga Rose, Kamarul Ariff Hassan berkata, penganjuran pertandingan itu bertujuan memberi peluang kepada pelajar mengasah kemahiran memasak, mengembangkan kreativiti dan membina keyakinan diri.

Menurutnya, pertandingan tersebut bukan sekadar medan untuk menentukan pemenang, malah memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan disiplin, kerjasama berpasukan dan pengurusan masa ketika menyediakan hidangan.

“Kami mahu golongan muda melihat bidang kulinari sebagai satu kemahiran yang mempunyai potensi besar sama ada untuk kegunaan harian, membina kerjaya mahupun menceburi bidang keusahawanan.

“Melalui pertandingan ini, mereka dapat belajar menggunakan kreativiti dalam penyediaan makanan, di samping memahami kepentingan kerjasama dan disiplin untuk menghasilkan hidangan yang berkualiti.

“Kami harap program ini dapat diteruskan sebagai acara tahunan dan diperluas ke lebih banyak sekolah di seluruh negara bagi melahirkan generasi muda yang berbakat, kreatif serta berani meneroka peluang dalam bidang kulinari,” katanya.

Pertandingan anjuran Rempah Cap Bunga Rose itu menghimpunkan 20 pelajar daripada lima sekolah menengah di daerah Kuala Terengganu iaitu SMK Sheikh Abdul Malek, SMK Padang Negara, SMK Sultan Sulaiman, SMK Sultan Mansor dan SMK Tengku Bariah.

Peserta yang berentap pada peringkat akhir merupakan wakil-wakil yang berjaya meraih johan dan naib johan dalam pertandingan terdahulu sepanjang Julai dan Ogos.

Program itu menjadi platform untuk pelajar mengetengahkan bakat dalam bidang masakan selain memberi pendedahan kepada mereka mengenai penyediaan hidangan berasaskan masakan tradisional.

Sebahagian peserta yang berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir pertandingan Remaja Chef Challenge 2026 di Terengganu Trade Centre, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Pertandingan akhir tersebut turut menampilkan panel juri berpengalaman termasuk pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Yusnita Hamzah yang mempunyai kepakaran dalam bidang produk makanan dan minuman.

Seorang lagi juri, Chef Nazrul Hazel yang merupakan bekas Ketua Chef Istana Negeri Terengganu.

Chef Nazrul berkata, pertandingan seumpama itu mampu membantu pelajar mengenali potensi diri dalam bidang kulinari sejak di bangku sekolah.

Katanya, memasak bukan sekadar mengikut resipi, sebaliknya memerlukan pengetahuan tentang bahan, teknik penyediaan, keseimbangan rasa dan ketelitian untuk menghasilkan hidangan yang berkualiti.

“Peserta juga perlu mempunyai disiplin dan kebolehan menguruskan masa kerana setiap hidangan memerlukan perancangan yang baik. Kreativiti sahaja tidak mencukupi jika mereka tidak tahu mengawal proses penyediaan makanan.

“Saya harap pengalaman yang diperoleh menerusi pertandingan ini dapat mendorong pelajar untuk terus mengembangkan kemahiran masing-masing. Tidak mustahil bakat yang dicungkil hari ini menjadi asas kepada kerjaya mereka dalam industri makanan dan kulinari pada masa hadapan,” katanya.

Pertandingan itu dilaksanakan dalam dua sesi dengan peserta diberi kebebasan menyediakan hidangan pilihan masing-masing pada sesi pertama, namun diwajibkan menggunakan produk Rempah Cap Bunga Rose.

Cabaran menjadi lebih menarik apabila empat peserta terbaik dipilih untuk mara ke sesi kedua yang menggunakan konsep kotak misteri.

Dalam sesi itu, peserta perlu memilih lima kotak misteri yang mengandungi produk rempah keluaran syarikat berkenaan sebelum menghasilkan hidangan berdasarkan bahan yang diperoleh.

Format pertandingan itu menguji kebolehan peserta menyesuaikan diri dengan bahan yang diberikan selain menggalakkan mereka meneroka kombinasi rasa dan kaedah masakan yang berbeza.

Nur Amalina Qasrina berkata, kemenangan itu menjadi pengalaman bermakna buat mereka kerana berjaya membawa pulang gelaran juara selepas melalui persaingan dengan peserta dari sekolah lain.

Katanya, cabaran menghasilkan hidangan yang menepati kehendak pertandingan memerlukan perancangan rapi, kerjasama berpasukan dan kreativiti dalam penggunaan bahan masakan.

“Kami sangat bersyukur dan gembira kerana berjaya muncul juara, lebih-lebih lagi apabila terpaksa bersaing dengan peserta dari sekolah lain yang turut mempunyai kebolehan masing-masing.

“Pertandingan ini memberi pengalaman baharu kepada kami terutama dari segi pengurusan masa, pembahagian tugas dan kreativiti dalam menyediakan hidangan.

“Kami juga perlu memastikan setiap bahan digunakan dengan baik supaya masakan dihasilkan bukan sahaja menarik tetapi juga mempunyai rasa memuaskan.

“Kemenangan ini menjadi pembakar semangat untuk kami terus memperbaiki kemahiran memasak dan mencuba pelbagai jenis hidangan pada masa akan datang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN