ABDUL AKIF (tiga dari kiri) mewakili NSEA selaku penerima Anugerah Persatuan Terbaik bergambar bersama pemenang-pemenang pelbagai kategori dalam Anugerah Sukan Untuk Semua di MSN, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

E-sukan bukan sekadar hiburan, jadi medan kerjaya belia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Usaha mengangkat sukan elektronik (e-sukan) sebagai cabang sukan yang mempunyai masa depan tersendiri terus mendapat pengiktirafan apabila Persatuan Sukan

Elektronik Negeri Sembilan (NSEA) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Persatuan Terbaik pada Anugerah Sukan untuk Semua Peringkat Kebangsaan 2026.

Pengiktirafan itu mencerminkan peranan persatuan sukan akar umbi dalam memperluas penyertaan masyarakat serta membangunkan bakat baharu, selari usaha

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menghargai sumbangan penggerak sukan di seluruh negara.

Ketua Setiausaha KBS, Datuk Rahimi Ismail berkata, majlis penyampaian anugerah sempena Hari Sukan Negara itu tetap diteruskan secara tertutup di Dewan Banquet Casa 4, Majlis Sukan Negara (MSN), Kuala Lumpur pada 11 Oktober lalu meskipun sambutan Hari Sukan Negara ditangguhkan.

Beliau berkata, anugerah berkenaan merangkumi beberapa kategori termasuk individu, orang kurang upaya (OKU), keluarga, tokoh sukan serta Anugerah Khas Menteri Belia dan Sukan.

Dalam perkembangan industri e-sukan, pembangunan ekosistem yang lebih tersusun dilihat penting bagi memastikan bidang itu bukan saja melahirkan atlet berprestasi tinggi, malah menyediakan peluang kerjaya lebih luas kepada belia.

Presiden NSEA, Abdul Akif Rahim berkata, visi utama persatuan adalah membina ekosistem e-sukan yang tersusun, inklusif dan mampan merangkumi pembangunan atlet, penggiat industri, penganjur serta sokongan pendidikan dan kerjaya.

“Kami mahu e-sukan dilihat sebagai satu industri profesional, bukan sekadar hiburan, dan menjadi platform pembangunan bakat belia Negeri Sembilan secara menyeluruh,” katanya.

Menurut Abdul Akif, peluang kerjaya dalam industri berkenaan tidak terhad kepada atlet profesional, sebaliknya turut merangkumi pengurusan pasukan, kejurulatihan, pengacaraan atau shoutcaster, pengurusan acara, penghasilan kandungan, pemasaran digital dan pembangunan teknologi.

Sokongan ibu bapa penting bagi memastikan minat anak-anak terhadap e-sukan disertai pendidikan yang bersesuaian. – Gambar hiasan

Bagaimanapun, katanya, persepsi masyarakat yang masih menganggap e-sukan tiada masa depan jelas menjadi antara cabaran utama dalam usaha mengembangkan industri itu di Negeri Sembilan.

Selain itu, kekangan pendanaan, fasiliti latihan khusus dan tenaga mahir turut menjadi antara perkara yang perlu ditangani.

Justeru, NSEA mengenal pasti kerjasama strategik bersama Yayasan Negeri Sembilan dan Kolej Yayasan Negeri Sembilan bagi memperkukuh pembangunan bakat, penyediaan fasiliti serta program pendidikan dan pensijilan berkaitan e-sukan.

Antara perancangan jangka panjang persatuan termasuk penubuhan Pusat Latihan dan Akademi Esports (Akademi NSEA) sebagai hab latihan atlet, pembangunan bakat akar umbi serta penganjuran program pembangunan belia.

Dalam tempoh lima tahun akan datang, NSEA turut menyasarkan pembentukan struktur pembangunan atlet dari peringkat akar umbi hingga elit, melahirkan lebih ramai jurulatih dan pengadil bertauliah serta memperbanyak kejohanan berperingkat.

Usaha itu turut disokong pencapaian atlet Negeri Sembilan yang meraih pingat emas acara e-Football konsol pada Sukan Malaysia (Sukma) 2022 dan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) pada Sukma 2024, selain pingat gangsa acara PUBG Mobile pada Sukan SEA Vietnam 2022.

“Kami menyasarkan atlet-atlet Negeri Sembilan dapat mewakili negara pada Sukan SEA dan Sukan Asia akan datang,” katanya.

Akif turut menegaskan bahawa sokongan ibu bapa penting bagi memastikan minat anak-anak terhadap e-sukan disertai pendidikan, disiplin dan bimbingan yang betul.

Menurutnya, perkembangan pendidikan e-sukan melalui laluan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta peringkat diploma turut membuka ruang kepada belia untuk membina kerjaya profesional dalam industri berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN