Gambar dimuat naik pengguna Threads Liahaa berhubung individu didakwa mengutip bayaran parkir di Stesen MRT Maluri tanpa kebenaran.

‘Entah siapa kutip bayaran parkir Stesen MRT Maluri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Aktiviti mengutip bayaran parkir di Stesen MRT Maluri didakwa masih dilakukan pihak tidak bertanggungjawab, biarpun pihak berkuasa telah mengambil tindakan susulan kejadian tersebut.

Menerusi perkongsian seorang pengguna Threads Liahaa, dia memuat naik gambar beberapa individu dikatakan mengutip bayaran tempat letak kereta daripada pengguna pada pagi ini.

“Pagi-pagi lagi dah ada entah siapa-siapa kutip payment (bayaran) parking kat sini. Kenapa lah ek? Korang tolong lah jangan bayar kat diorang ni. Diorang ni entah siapa-siapa,” katanya pada hantaran tersebut.

Wanita itu turut meminta pihak Rapid KL untuk mencari jalan penyelesaian berhubung isu tersebut.

Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas daripada orang ramai termasuk ada yang mengatakan, kemungkinan kenderaan bakal dirosakkan jika tidak membuat bayaran tersebut.

“Tapi kan kalau tak layan, kereta pula dijahanamkan. Apa pun, bila kita bagi (bayaran), ia menggalakkan (perbuatan kutip bayaran), tak bagi dijahanamkan kereta,” komen pengguna Threads Chynna.bergery.

“Selagi tak tangkap bos dia, tak guna. Yang ni semua makan gaji sahaja,” kata Ravirvd27.

“Takkan nak letak polis situ 24 jam,” kata Randomsomes.

Sementara itu, ParkIt Malaysia menerusi hantaran semalam berkongsi beberapa gambar memperlihatkan pihak polis melakukan pemeriksaan di kawasan tersebut.

“MRT Maluri 9 November hari keempat berturut-turut. Polis dah turun semalam (kelmarin), tapi pihak ketiga ni datang balik pagi ni (semalam). Menurut polis, ini bawah bidang kuasa DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur). Lesen yang ditunjukkan untuk pejabat urusan, bukan kutipan parking, dan alamatnya pun tak sama.

“Kami dah lapor ke DBKL dan takkan mengalah. Tolong lapor juga di adukl.dbkl.gov.my. Makin banyak aduan, makin cepat DBKL bertindak. ParkIt tak kutip apa-apa kat Maluri. Jangan bayar kalau boleh tolak dengan selamat,” katanya.

Pada 5 Oktober lalu, Kosmo! Online melaporkan, pengguna tempat letak kereta di Stesen MRT Maluri mendakwa ada pihak yang mengutip bayaran parkir sedangkan mereka dikatakan tidak mempunyai kuasa untuk melakukan kerja tersebut.

Menerusi video tular di media sosial, seorang pengguna menuntut penjelasan daripada seorang individu yang menjaga parkir di kawasan itu serta menunjukkan QR kod bagi pembayaran parkir.

Bagaimanapun, QR kod itu tertera nama individu dan didakwa bukannya sebuah organisasi atau pihak mempunyai kuasa untuk mengutip bayaran parking.

Susulan itu, ParkIt Malaysia menerusi hantarannya memaklumkan, pihak berkenaan tidak mengutip sebarang bayaran parkir di Stesen MRT Maluri buat masa ini, malah tidak membenarkan mana-mana pihak mengutip bayaran bagi pihak berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN