KUALA LUMPUR – Pasukan peguam Datuk Seri Najib Razak menyifatkan Jabatan Peguam Negara (AGC) bertindak ‘umpama mengalih tiang gol pada detik akhir’ apabila terus mengubah pendirian berhubung pelaksanaan perintah tahanan rumah yang diperintahkan ke atas bekas Perdana Menteri itu.
Muhammad Farhan Shafee menegaskan, semua pihak sepatutnya memahami bahawa perintah dalam kes jenayah disedia dan dikeluarkan oleh mahkamah sendiri, bukannya pihak pembelaan seperti kes sivil.
Beliau berkata, Perintah Pelepasan atau ‘Order of Discharge on Payment of Fine’ itu jelas mencatatkan denda RM50 juta telah dibayar dan baki hukuman hendaklah dijalani di bawah tahanan rumah mengikut Perintah Pengampunan Bersyarat.
“Tiada apa-apa dalam perintah itu yang memerlukan tafsiran,” tegasnya kepada Berita Harian.
Muhammad Farhan menegaskan, kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar semalam, mempamerkan perubahan pendirian berbanding kenyataan media AGC sebelum ini yang mencetuskan kekeliruan.
“Jadi, yang mana satu? Adakah AGC mengatakan bahawa terdapat dua interpretasi yang mungkin atau bahawa perintah itu sendiri cacat? Ini dua aduan yang berbeza dan setiap satunya mempunyai remedi yang berbeza.
“Sukar bagi kami untuk memberikan jawapan yang tepat apabila pihak yang membuat kenyataan-kenyataan ini terus mengubah-ubah tiang gol dan pendiriannya,” katanya.
Semalam, BH melaporkan, Mohd Dusuki membangkitkan persoalan mengenai ketelitian penyediaan dokumen rasmi kehakiman berhubung kecacatan didakwa pada dokumen Order of Discharge Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Beliau dilaporkan berkata, perkara itu tak sepatutnya berlaku jika pihak berkenaan teliti dan kesilapan itu adalah ketara dan menyebabkan timbul masalah yang tak sepatutnya.
Pada Jumaat lalu, UMNO mengesahkan denda RM50 juta yang dikenakan ke atas Najib sudah dibayar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan tahanan rumah mengikut syarat pengampunan bersyarat yang diterima bekas Presiden UMNO itu.
Bagaimanapun, pelaksanaan tahanan rumah itu ditangguhkan selepas AGC mengumumkan mahu membuat penelitian dan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat serta kesan Perintah Pelepasan Mahkamah Tinggi yang dikeluarkan selepas pembayaran denda berkenaan.
Susulan itu, Peguam Negara memohon untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menjelaskan pendiriannya berhubung pematuhan terhadap titah diraja berkaitan Perintah Pengampunan Bersyarat Najib.
Istana Negara pula, menegaskan sebarang hujah mempertikaikan perintah pengampunan bersyarat yang diperintahkan ke atas Najib disifatkan mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menerusi kenyataan media, Istana Negara berkata, jika semua syarat dalam perintah pengampunan bersyarat yang diperintahkan sudah dipenuhi, maka pelaksanaan tidak sepatutnya menimbulkan kekeliruan atau ketidakpastian berpanjangan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam kenyataannya, berkata kenyataan Istana Negara itu sudah menjelaskan dengan amat terang mengenai kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pada 18 September lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat terhadap Najib pada mesyuarat lembaga itu yang ke-64.
Seri Paduka Baginda membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun menerusi tahanan rumah, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dalam kes SRC International.
© New Straits Times Press (M) Bhd








