PETALING JAYA – Tular di media sosial dakwaan tiga individu meninggal dunia akibat disambar petir ketika berada di kawasan padang awam Bandar Baru Salak Tinggi (BBST), Sepang, petang tadi.
Dakwaan itu menjadi perhatian selepas beberapa gambar dan rakaman video memaparkan tiga individu terbaring berhampiran sebatang pokok besar di kawasan berkenaan tersebar di media sosial.
Menerusi perkongsian pengguna Facebook, Benny Sandika, kejadian itu didakwa meragut tiga nyawa selepas mereka disambar petir ketika hujan lebat melanda kawasan tersebut.
Berdasarkan gambar yang tular, kelihatan kesemua mangsa telah terbaring di atas permukaan jalan yang basah berhampiran pokok, manakala anggota polis turut dilihat berada di lokasi kejadian.
Sementara itu, seorang pengguna Threads, @atien.akiera turut membangkitkan persoalan mengenai kejadian tersebut selepas menerima maklumat berhubung dakwaan kematian tiga individu akibat sambaran petir.
“Betulkah ada yang meninggal dunia akibat disambar petir dekat BBST? Ketika petir kuat tadi,” tulisnya.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi orang ramai yang rata-ratanya terkejut selain cuba mendapatkan kepastian mengenai kejadian tersebut.
Seorang pengguna, @nrdiyahre_ mendakwa turut mendengar mengenai kejadian berkenaan yang dipercayai melibatkan tiga individu.
“Ada dengar juga tadi, kalau tidak silap tiga orang. Allahu,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @sulianisaidi turut memberikan reaksi ringkas dengan mendakwa jumlah individu terlibat adalah tiga orang.
“Betul, tiga orang,” komennya.
Dalam pada itu, pengguna @eiykanightmaree mengingatkan orang ramai supaya tidak berlindung di bawah pokok ketika hujan lebat dan ribut petir.
“Dulu cikgu selalu cakap kalau hujan atau petir, jangan berteduh di bawah pokok,” katanya.
Bagaimanapun, setakat ini, jumlah mangsa, status kematian serta punca sebenar kejadian masih belum dapat disahkan menerusi kenyataan rasmi pihak berkuasa.– KOSMO! ONLINE
















