PETALING JAYA – Kawasan Batu Tiga, Petaling di Selangor merekodkan taburan hujan paling tinggi iaitu 63.5 milimeter (mm) dalam tempoh sejam setakat pukul 4 petang ini.
Berdasarkan maklumat dikongsikan menerusi Facebook PublicInfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), bacaan tersebut dikategorikan sebagai hujan sangat lebat.
Selain Batu 3, beberapa kawasan lain di Selangor turut merekodkan hujan lebat termasuk Taman Desa Kemuning, Klang dengan bacaan 47mm dalam tempoh sejam setakat pukul 3.45 petang.
Kampung Salak Tinggi, Sepang pula mencatatkan bacaan hujan sebanyak 43mm dalam tempoh sejam setakat pukul 3.50 petang.
Sementara itu, hujan lebat turut direkodkan di Telemong (F1), Bentong, Pahang dengan bacaan 42.5mm dalam tempoh sejam setakat pukul 4.30 petang.
Di Pulau Pinang, Kolam Air Itam merekodkan bacaan hujan 38.5mm, manakala Jalan Gangsa mencatatkan 34mm dalam tempoh sejam setakat pukul 3.30 petang.
Kawasan Debak, Betong di Sarawak pula merekodkan bacaan hujan 32.5mm dalam tempoh sejam setakat pukul 4 petang.
Dalam perkembangan berkaitan, JPS turut melaporkan paras air Sungai Rasau di Taman Desa Kemuning, Klang telah melepasi tahap amaran.
Bacaan paras air sungai berkenaan mencecah 2.95 meter pada pukul 4.15 petang, iaitu 0.15 meter melebihi paras amaran.
Sungai Bernam di Jambatan SKC, Hulu Selangor turut mencatatkan bacaan 18.75 meter pada pukul 4 petang, juga melebihi paras amaran sebanyak 0.15 meter.– KOSMO! ONLINE
















