PETALING JAYA – Hari terakhir cuti perayaan Deepavali menyaksikan peningkatan aliran trafik di beberapa lebuh raya utama apabila orang ramai mula bergerak pulang ke destinasi masing-masing selepas menghabiskan cuti bersama keluarga.
Keadaan itu turut menyebabkan aliran trafik perlahan di beberapa laluan, termasuk selepas Plaza Tol Bentong menghala ke Kuala Lumpur menerusi Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak.
Menerusi perkongsian di Threads, seorang pengguna berkongsi keadaan trafik yang sesak di laluan berkenaan sehingga menarik perhatian pengguna jalan raya lain.
Situasi itu dipercayai berlaku susulan peningkatan jumlah kenderaan yang menggunakan lebuh raya berkenaan bagi perjalanan pulang ke ibu negara sempena hari terakhir cuti perayaan.
Menurut kemas kini Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) di Facebook, setakat pukul 12 tengah hari ini, aliran trafik di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak turut dilaporkan bergerak perlahan di beberapa lokasi.
Antaranya dari Bentong ke Lentang, Lentang ke Bukit Tinggi serta Hentian Sebelah Gombak menuju ke Plaza Tol Gombak bagi laluan arah barat (menghala ke Kuala Lumpur).
Bagi laluan arah timur pula, trafik dilaporkan perlahan dari Gombak ke Terowong Genting Sempah susulan kemalangan di Kilometer 35.0 yang menyebabkan lorong kanan terhalang.
Selain itu, beberapa lebuh raya lain turut mengalami aliran trafik perlahan termasuk Lebuh Raya Utara-Selatan, Lebuh Raya Cheras-Kajang dan Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP).
LLM turut menasihatkan pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan. – KOSMO! ONLINE
















