MOHAMED ZAKARIA (kiri) mengutip kelapa matag di kebunnya di Kampung Dendang, Dungun semalam.

‘Dulu laku 500 biji, kini 100 biji pun susah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DUNGUN – Pendapatan 69 pekebun kelapa Matag di Kampung Dendang, di sini, terjejas teruk sejak awal Januari lalu apabila hasil tanaman mereka semakin sukar dipasarkan berikutan persaingan dengan kelapa import dari negara jiran.

Ketua Projek Berkelompok Kelapa Matag Kampung Dendang, Mohamed Zakaria Awang, 66, berkata, kebanyakan pemborong kelapa dan peniaga santan kini memilih kelapa import yang dijual pada harga lebih murah berbanding hasil tanaman tempatan.

“Sebelum ini kami menjual kelapa kepada pemborong di sekitar daerah ini dan Kemaman, namun sejak awal tahun lalu, mereka tidak lagi membeli kelapa daripada kami kerana harga kelapa import jauh lebih rendah.

“Sebelum ini, kami mampu menjual lebih 500 biji kelapa tua dalam tempoh sebulan, tetapi kini 100 biji sebulan pun sukar untuk dijual,” katanya ketika ditemui di kebunnya di Kampung Dendang, di sini semalam.

Menurutnya, projek berkelompok itu mula diusahakan dengan penanaman 5,000 pokok kelapa di kawasan seluas 20 hektar pada 2009 sebelum mula mengeluarkan hasil tiga tahun kemudian.

“Sepanjang 14 tahun, kelapa ini mengeluarkan hasil, tahun ini tempoh paling teruk kami pendapatan kami terjejas,” katanya.

Seorang lagi pekebun, Zahari Abdullah, 61, berkata, dia dan pekebun lain kini hanya memperoleh kira-kira RM500 sebulan hasil jualan kelapa berbanding lebih RM2,000 sebelum ini.

“Kadang-kadang kami hendak membeli baja pun tidak mampu. Banyak buah kelapa rosak kerana tidak dapat dijual apabila tiada pembeli.

“Kelapa import dari Indonesia dijual pada harga hanya 80 sen sebiji. Jika kami menjual pada harga sama, kami pula terpaksa menanggung kerugian,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan beberapa pekebun mula berputus asa hingga tidak lagi menguruskan kebun meskipun pokok kelapa masih mengeluarkan hasil.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu, Muhamad Fadlee Hassan berkata, pihaknya mengambil inisiatif membeli kelapa daripada peserta projek berkelompok itu bermula 29 April hingga 3 November lalu.

“FAMA membeli kelapa itu pada harga peringkat ladang antara RM1.10 hingga RM1.50 sebiji bergantung kepada harga pasaran semasa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN